Jalan-Jalan Di Sabak Bernam, Ini 5 Tempat Yang Wajib Anda Kunjungi

Sabak Bernam merupakan salah satu daripada 9 daerah di negeri Selangor. Daerah Sabak Bernam terletak di utara negeri Selangor dan bersempadan dengan negeri Perak. Ia juga mempunyai 3 pekan utama iaitu Sungai Besar, Sekinchan dan Pekan Sabak. Berikut merupakan tempat menarik di Sabak Bernam yang boleh dikunjungi pada musim cuti sekolah atau pada waktu hujung minggu:

1. Pantai Bagan Nakhoda Omar

Pantai ini cukup terkenal sebagai lokasi untuk warga setempat beriadah dan bersantai di waktu petang. Tetapi, pantai ini tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

Tidak jauh dari pantai ini terletaknya sebuah perkampungan Cina yang bertempat di antara Pekan Sungai Besar dengan Pekan Sabak Bernam. Pengunjung juga disediakan kemudahan awam seperti gerai dan medan selera yang terkenal dengan makanan laut serta mee udang.

2. Kelong Paradise Waterfront Resort

Destinasi ini semestinya tempat wajib untuk dikunjungi bagi kaki pancing. Kelong Paradise Waterfront Resort ini terletak kira-kira 15 batu dari Jeti Bagan Nakhoda Omar. Ikan kerapu, jenahak, senangin, bawal, pari dan gelama meruapakan ikan-ikan yang menjadi kegilaan kaki pancing di sini.

Pengunjung yang mahu ke sini boleh mengambil pakej yang disediakan termasuk dengan pengangkutan bot pergi dan balik serta alat untuk memancing.

3. Muzium Daerah Sabak Bernam

Muzium ini mempamerkan sejarah warisan pertanian dan perikanan khususnya masyarakat di Sabak Bernam dan negeri Selangor. Terdapat pelbagai arca, replika, infografik dan barangan tradisional yang digunakan dalam pertanian terutamanya dalam sektor penanaman padi. Muzium ini terletak di Jalan Pasar bersebelahan dengan Perpustakaan Daerah.

4. Pusat Pemerhatian Enggang

Ia terletak di Hutan Simpan Sungai Karang. Bagi mereka yang sukakan aktiviti memerhati burung, ini adalah tempat yang terbaik untuk melihat pelbagai jenis enggang di Sabak Bernam. Antara jenis enggang yang terdapat di sini termasuklah Anthracoceros Albirostris Convexus, Anthracocerus Malayanus, Anorrhinus Galeritus dan Buceros Rhinoceros.

5. Ladang Mangga Sungai Limau

Ladang yang diusahakan oleh orang kampung ini terletak kira-kira 5-7 kilometer dari Pekan Sungai Besar. Setiap kali musim buah, berderet gerai di sepanjang jalan di antara Kuala Selangor hingga Hilir Perak yang menjual buah-buah manga yang terkenal dengan kemanisannya. Pengunjung juga boleh melawat ladang ini jika teringin melihat pokok-pokok manga dengan lebih dekat.

Penulis

  • Nabillah Yahya adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca