Jalan Ini Ditutup Setiap Tahun Demi Jutaan Ketam Merah Melintas

Lebih 120 juta ketam merah yang mendiami Pulau Christmas di Australia akan memenuhi jalan raya pada setiap tahun antara bulan Oktober hingga awal Disember.

Hal ini disebabkan waktu tersebut adalah tempoh musim ketam-ketam itu mengawan dan berhijrah dari pulau ke laut untuk bertelur.

Kebiasaannya, ketam merah ini mengambil masa 4 hingga 5 minggu untuk bertelur sebelum pulang kembali ke habitat asalnya.

Oleh sebab kehadiran ketam yang banyak pada tempoh penghijrahan tersebut, pihak berkuasa terpaksa mengarahkan jalan raya di Pulau Christmas itu ditutup. Malah, penduduk tempatan di situ telah membina sebuah halangan di sepanjang 21 kilometer jalan raya pulau tersebut dan 31 terowong ketam bagi mengelakkan mereka dilanggar kereta ketika mereka melintas.

Selain itu, penduduk tempatan turut membina sebuah jambatan ketam sepanjang 5 meter bagi membimbing ketam tersebut melalui jalan yang selamat untuk ke pantai.

Bagi mereka yang pernah menyaksikan fenomena penghijrahan ketam itu, perkara pertama yang menarik perhatian mereka adalah bunyi ‘klik’ dan cakaran ketam tersebut di atas jalan.

Jika anda mahu melihat keajaiban fenomena ini, datanglah melancong ke Pulau Christmas.

Penghijrahan ketam merah itu dijangkakan akan berlaku lagi pada akhir tahun 2019 iaitu 22 hingga 24 November 2019 dan 21 hingga 23 Disember 2019.

Artikel Lain Untuk Di Baca