JAKIM Dan SKMM Berganding Bahu Pantau Aduan Hina Agama Islam Serta Nabi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa berganding bahu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau apa-apa penghinaan terhadap agama Islam dan juga Nabi Muhammad SAW di laman sosial.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM iaitu Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, mereka mempunyai pegawai yang ditempatkan di SKMM bagi bertindak dengan segera sekiranya terdapat sebarang aduan daripada para pengguna mengenai penghinaan terhadap kesucian agama Islam dan Nabi Muhammad di media sosial.

“Kita bekerjasama dengan SKMM di bawah satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji dan memantau sebarang aduan melibatkan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad,” katanya.

Sebelum ini, laporan polis telah dibuat oleh beberapa pihak apabila tular di media sosial berkenaan seorang individu di sebalik akaun bernama Wendy Loong yang bertindak menghina agama Islam dan Nabi Muhammad menerusi posting di laman Facebook.

Tambah Mohamad Nordin, JAKIM sudah sedia maklum berhubung isu tersebut dan mereka akan terus konsisten dalam menyalurkan maklumat tentang penghinaan terhadap agama Islam kepada pihak berkuasa termasuklah SKMM dan Polis Diraja Malaysia.

“Biasanya kita akan mengumpul maklumat daripada aduan dan salurkan kepada agensi mempunyai kuasa penyiasatan dan melakukan tindakan,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Darul Quran mengatakan bahawa sebanyak RM35 juta telah diluluskan kerajaan bagi kerja-kerja menaik taraf Darul Quran termasuklah membina pusat akademi dan menambah jumlah asrama.

Kerja-kerja menaik taraf yang bakal dimulakan tahun depan akan menjamin keselasaan para pelajar pusat tahfiz tersebut.

“Pada masa ini, kita sediakan kemudahan asrama kepada 1,000 pelajar tahfiz dan apabila ia siap kira-kira tiga tahun akan datang, 300 lagi pelajar boleh kita tempatkan di sini,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca