JAIP: Hanya Dua Kedai Mamak Di Pahang Mempunyai Sijil Halal

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan bahawa hanya dua restoran mamak di negeri tersebut yang memegang sijil halal. Kedua-dua restoran itu dilaporkan beroperasi di daerah Kuantan.

Menurut Timbalan Pengarah JAIP iaitu Datuk Mohd. Ghazali Abdul Aziz, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan tahap kesedaran memiliki sijil halal kepada pengusaha restoran mamak dan juga kedai makan lain. Antara usaha yang diambil termasuklah dengan mengadakan kempen dan juga kaedah turun padang.

Ujarnya, salah satu sebab pengusaha enggan memohon sijil tersebut berkemungkinan kerana perniagaan mereka menerima ramai pelanggan sehinggakan ketiadaan sijil itu langsung tidak memberi kesan.

“Melalui pemantauan yang dilakukan, pengusaha ini cukup selesa dengan kehadiran ramai pelanggan yang menyebabkan ada di antara mereka tidak mahu memohon sijil walaupun prosesnya tidaklah rumit.”

“Mereka hanya perlu bayar RM200 bagi tempoh dua tahun pemilikan sijil halal dengan segala syarat seperti maklumat berkenaan bahan mentah serta segala aspek kebersihan dipenuhi,” katanya.

Pada masa yang sama, pengusaha restoran juga tidak perlu bimbang sekiranya tidak mempunyai kakitangan bagi menguruskan hal berkenaan kerana kakitangan JAIP siap sedia untuk membantu memudahkan urusan.

“Memiliki sijil halal memberi nilai tambah kerana ia memastikan kualiti penyediaan makanan termasuk kandungannya adalah bersih, selamat dan mengikut syarak. Walaupun tidak mempunyai sijil, kita tahu penyediaan makanan oleh mereka yang Islam, insya-Allah mengikut hukum,” katanya.

Tambah beliau lagi, JAIP telah mengeluarkan 452 sijil halal kepada premis perniagaan meliputi kedai makan, pembekal bahan mentah dan juga hotel setakat ini.

“Peningkatan sebanyak 60 peratus pemilik sijil halal dicatatkan pada tahun ini berbanding tahun lepas. Ia menunjukkan kesedaran mengenai keperluan memiliki sijil halal semakin meningkat walaupun agak perlahan.”

“Jika pengusaha masih berdegil, maka ia terserah kepada pengguna untuk membuat pilihan. Kuasa pengguna sangat besar dan ia mampu mengubah pendirian peniaga yang masih berdegil dalam isu sijil halal,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca