Pernah lalui situasi di mana kita luahkan rasa susah dan mereka yang mendengar hanya berkata, “Ala kau ni, ada orang lagi susah dari kau tahu tak, benda kecil sahaja ni.” Apa perasaan kita masa itu?
Ya, sakit dan pedih. Seolah-olah seperti kita sengaja memperbesarkan masalah yang sebenarnya sekecil kuman. Terasa seperti kita sengaja suka-suka mengeluh tentang hidup yang kadang terasa begitu mengelirukan.
Akhirnya kita bersumpah untuk tak akan sesekali ceritakan rasa susah kita lagi. Kita memilih untuk diam, memalsukan senyuman dan teruskan melangkah. Tanpa kita sedar topeng wajah bahagia yang palsu selalu sedia terpasang di muka setiap kali keluar dari dunia sendiri.
Kita fikir dengan begitu hidup akan baik-baik sahaja. Kita mula rasa benci dengan diri sendiri, “Kenapa masalah kecil macam ini pun nak rasa down?” Soalan yang sama berlegar-legar dalam kotak fikiran tanpa henti.
Mungkin begitulah perasaan mereka yang memilih untuk diam dan teruskan hidup dengan luka di hati. Rasa kecewa diperlekehkan akhirnya memakan diri.
Percayalah kawan, setiap daripada kita ada yang menghadapi kesusahan dan kesedihan tersendiri. Masalah yang nampak kecil di mata kita mungkin merupakan masalah yang paling besar dalam hidup orang lain.
Tanamkan dalam hati, jika ada yang datang mengadu kesusahan hidup mereka kepada kita, dengarkan. Mereka datang bukan cuma untuk mendapat simpati, tetapi mereka percaya bahawa kita adalah seseorang yang boleh dipercayai.
Jika kita tak mempunyai cukup rasa empati terhadap mereka, berusahalah untuk memperbaiki hati kita supaya apabila kita susah mereka pula sudi menjadi pendengar masalah kita.
Perkongsian dengan izin penulis asal, Asma Huda