Jadikan Mayat Kekasih Hati Sebagai Permaisuri, Ini Kisah Raja Pedro I Yang Terlalu Setia Terhadap Cintanya

Pertemuan dengan wanita teristimewa sememangnya memberikan perubahan besar kepada hidup seorang lelaki yang setia. Lebih-lebih lagi jika perpisahan itu adalah aturan takdir yang tidak dapat dielakkan dengan kuasa manusia. Namun, sebesar manakah sebuah perpisahan itu mampu merubah hidup seseorang itu?

Perjalanan hidup dan kisah cinta putera mahkota dari Portugal ini mungkin dapat memberikan sedikit gambaran mengenai hal ini.

Pada abad ke-14, Raja Portugal ketika itu, Raja Alfonso telah mengahwinkan putera mahkotanya, Pedro I, dengan seorang puteri yang bernama Constanza yakni cucu kepada raja Itali demi menguatkan hubungan diplomatik antara dua negara tersebut.

Tidak mengenal darjat dan status, Pedro telah jatuh cinta kepada salah seorang dayang Constanza iaitu Ines de Castro dek wajahnya yang jelita. Walaupun telah mengahwini permasurinya, Pedro tetap menjalinkan hubungan sulit dengan Ines.

Meskipun ditentang oleh ayahnya, Pedro berdegil mempertahankan hubungannya dengan Ines dan akhirnya skandal mereka berdua membuatkan Raja Alfonso tekad membuang Ines dari istana.

Pedro bagaimanapun tetap mengunjungi Ines yang tinggal di tempat buangan kerajaan.

Lima tahun selepas perkahwinannya dengan Constanza, isteri rasminya itu telah meninggal dunia. Raja Alfonso pula menawarkan Pedro beberapa orang puteri yang cantik-cantik belaka kepada puteranya itu untuk dijadikan pengganti Constanza namun Pedro lantas menolak dan berkeras mahu Ines yang menjadi permaisurinya.

Raja Portugal menolak permintaan Pedro menyebabkan putera mahkota itu secara terang-terangan membawa Ines keluar dari tempat buangan dan tinggal bersamanya di istana.

Raja Portugal itu semakin gusar apabila Pedro mula memberi kuasa kepada saudara-saudara Ines yang merupakan bangsawan Castillian yakni musuh kepada sekutu Raja Alfonso.

Dek terlalu risau dan takut puteranya itu semakin dipengaruhi Ines, baginda mengutuskan tiga orang pembunuh untuk menamatkan riwayat Ines. Tragiknya apabila Ines dibunuh di hadapan salah seorang anaknya yang masih kecil.

Ines akhirnya meninggal dunia selepas 15 tahun menjalinkan hubungan cinta bersama Pedro I.

Pedro yang amat marah dek kehilangan wanita yang paling dicintainya itu telah mengumpulkan beberapa pasukan tentera lalu memberontak terhadap kerajaan ayahnya. Pemberontakan itu gagal dan Pedro ditahan selama setahun.

Selepas setahun itu juga Raja Alfonso telah meninggal dunia dan Pedro menaiki takhta sebagai pemerintah Portugal yang baharu.

Pedro akhirnya mencari pembunuh yang bertanggungjawab membunuh Ines dan menghukum mereka di hadapan umum malah baginda sendiri yang merobek dan mencabut jantung daripada badan mereka hidup-hidup.

Pedro dikatakan mahu pembunuh-pembunuh itu merasakan sendiri sakit yang luar biasa apabila kehilangan jantung sepertimana baginda merasakan kehilangan jantungnya (Ines).

Setelah selesai melunaskan dendam kesumat, Pedro mengangkat Ines sebagai permaisurinya. Dia memerintahkan kepada pembantunya untuk menggali kubur Ines dan mendandan mayat Ines sepertimana layaknya seorang ratu.

Mayat Ines yang dihias cantik itu diletakkan di atas singgahsana takhta sebelum raja Portugal yang baharu itu memerintahkan orang-orang istana datang untuk memberikan penghormatan kepada Ines dan bergantian mencium tangan kaku Ines.

Raja Pedro juga memerintahkan pembinaan dua makam dilaksanakan di biara kerajaan di mana makam pertama dibina untuk dirinya nanti dan yang keduanya untuk Ines agar mereka berdua dapat bertemu lagi pada hari akhirat nanti.

Makam mereka dibina saling berhadapan dan setiap satu makam itu diukir kata-kata ‘Até o fim do mundo’ yang bermaksud ‘hingga dunia berakhir’ di batu makam mereka.

Kisah Pedro dan Ines menjadi inspirasi kepada pelbagai macam karya seni, sastera dan pertunjukan teater. Bahkan, sebuah ungkapan daripada kisah cinta mereka berdua ini turut digunakan umum sehingga ke hari ini iaitu ‘Agora é tarde, Inês é morta’ yang bermaksud ‘sudah terlambat, Ines sudah mati’.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca