Jadikan Diri Sendiri Pada Masa Hadapan Sebagai ‘Role Model’, Ini Nasihat Jisoo BlackPink Kepada Para Peminat

Penyanyi terkenal daripada kumpulan BlackPink iaitu Jisoo baru-baru ini membuka cerita tentang personalitinya dalam satu temu bual bersama majalah Elle Korea.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi sebuah mesej yang penuh inspirasi kepada mereka yang meletakkan individu lain sebagai model peranan mereka.

Menurut laporan Soompi, Jisoo ataupun nama sebenarnya iaitu Kim Ji-soo yang bakal menghiasi muka hadapan majalah tersebut edisi Disember ini meluahkan pendapat peribadi tentang pengalaman hidupnya setakat ini.

“Saya dapat rasakan bahawa saya seorang yang kuat apabila saya melihat kembali pada perjalanan hidup saya setakat ini kerana saya tidak pernah terfikir untuk bergantung pada orang lain walaupun saya sedang melalui masa yang agak sukar.”

Tambahnya, “Saya tidak akan membebankan orang lain dengan masalah saya dan sebaliknya, saya akan cuba untuk selesaikannya sendiri. Mungkin kerana saya harungi semuanya bersendirian tanpa bergantung pada orang lain, saya kini menjadi seorang yang kuat.”

Penyanyi terbabit turut berkata, “Sehingga kini, saya tidak suka bercakap tentang perkara ini kerana saya hanya mahukan orang lain tersenyum apabila mereka berfikir tentang saya.”

Jisoo kemudiannya berkongsi sebuah mesej yang penuh inspirasi kepada peminatnya terutamanya kepada golongan muda yang meminati BlackPink lalu menjadikan kumpulan tersebut sebagai model peranan.

Ahli BlackPink ini berkata, “Saya mahu mereka menjadikan diri mereka sendiri pada masa hadapan sebagai model peranan mereka. Saya mahu mereka ikut jalan hidup mereka sendiri daripada menjadikan orang lain sebagai role model.”

Dalam pada itu, Jisoo akui bahawa dia dapat rasakan perasaan kekosongan itu lebih daripada rasa pencapaian apabila dia menjadikan individu lain sebagai model peranan.

Menurutnya, “Saya pernah cuba untuk menjadikan orang di sekeliling saya sebagai model peranan saya. Namun, hasilnya? Saya hilang arah dan saya hanya dapat rasakan perasaan kekosongan tersebut. Untuk itu, saya mahukan semua orang untuk mencari model peranan dalam diri mereka sendiri.”

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca