Jadi ‘Backdrop’ Gambar Kahwin, Pasangan Ini Teruskan Majlis Meskipun Gunung Berapi Taal Meletus

Satu letusan gunung berapi yang besar sedang berlaku di Filipina ketika ini. Meskipun begitu, pasangan kekasih ini tidak mahu ia menggangu perjalanan majlis perkahwinan mereka.

Chino Vaflor dan Kat Bautista Palomar sudah memilih untuk berkahwin pada Ahad lalu di sebuah lokasi yang terletak tidak jauh dari Taal yakni salah satu gunung berapi paling aktif di negara itu.

Ketika majlis sedang berlangsung, gunung berapi Taal juga dapat dilihat seakan-akan bangkit dari tidur apabila ia mula mengeluarkan asap dan debu yang berterbangan sehingga beberapa kilometer jauhnya.

Menurut Raldolf Evan iaitu jurugambar yang ditempah khas buat majlis itu berkata, mereka sama sekali tidak diberi amaran awal mengenai letusan gunung berapi berkenaan.

“Kami mula sedar asap berkepul-kepul keluar dari Taal pada jam dua petang. Kami mula sedar sesuatu yang tidak kena terjadi apabila majlis itu sudah berjalan,” ujarnya ketika ditemu bual oleh wartawan BBC.

Difahamkan, lokasi majlis perkahwinan berkenaan hanya terletak kira-kira 10 kilometer sahaja dari gunung berapi. Namun, Randolf berkata kesemua tetamu yang berada di acara itu berasa selamat kerana kawasan terbabit terletak agak tinggi dari kawasan letusan Taal.

Lewat Ahad itu, pihak berkuasa Filipina telah mengeluarkan amaran tahap kedua tertinggi dan menasihati mereka yang tinggal dalam kawasan 14 kilometer radius dari gunung berapi untuk segera berpindah.

Walau bagaimanapun, majlis perkahwinan Chino dan Kat Bautista tetap berjalan seperti biasa. Malah, tidak ada seorang pun tetamu yang kelihatan panik meskipun mereka dapat merasai debu asap dari letusan Taal menghujani mereka.

“Keadaan kelihatan selamat sehinggalah malam menjelma. Pada ketika itu, debu asap sudah sedikit berat dan mempunyai tekstur seakan-akan lumpur,” ujar Randolf lagi.

Pada hari Isnin, bencana alam berkenaan sudah mencapai tahap bahaya apabila lava sudah dapat dilihat keluar dari gunung berapi itu.

Randolf memberitahu wakil BBC bahawa kesemua individu yang terlibat di dalam majlis perkahwinan berkenaan kini sudah meninggalkan kawasan berbahaya itu.

Jurugambar profesional berkenaan, walau bagaimanapun, sempat memberitahu majlis itu merupakan kerja paling ekstrem pernah dilakukannya sepanjang lapan tahun menceburi bidang terbabit.

“Ia merupakan sesuatu yang menakjubkan. Saya bersyukur kerana saya dapat merasai sendiri pengalaman ini,” katanya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan bencana lain yang pernah berlaku di dunia, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca