Jackie Chan Tawar Ganjaran RM580,000 Kepada Pihak Yang Berjaya Hasilkan Penawar Koronavirus

Bintang aksi tersohor Hong Kong, Jackie Chan menawarkan ganjaran sebanyak 1 juta yuan iaitu kira-kira RM580,000 kepada pihak yang berjaya menghasilkan penawar wabak koronavirus yang kini melanda China dan puluhan lagi negara di dunia.

Aktor yang membintangi filem berjudul Vanguard itu memuat naik status di aplikasi Weibo pada Selasa untuk memaklumkan orang ramai tentang ganjaran tersebut.

Selain memberikan sokongan kepada para pesakit yang dijangkiti virus berkenaan, seniman itu juga berharap untuk menghulurkan bantuan semampunya bagi menangani wabak tersebut.

“Sains dan teknologi adalah kunci utama untuk mengekang gejala berkenaan. Saya percaya semua orang pun beranggapan begitu.”

“Tidak kira mana-mana individu atau organisasi yang berjaya menghasilkan penawar koronavirus, saya mahu berterima kasih kepada mereka dengan jumlah 1 juta yuan,” katanya.

Pada masa yang sama, Jackie Chan berharap agar orang ramai tidak memandang serong atas niatnya itu.

“Ini bukan soal duit. Saya tidak mahu lagi melihat jalan-jalan yang semakin sepi dan rakan-rakan senegara saya berperang dengan virus itu sehingga ada yang sudah terkorban sedangkan mereka patut menikmati kehidupan,” jelasnya.

Semasa artikel ini ditulis, status yang dimuat naik Jackie Chan mencatat lebih 55,000 tanda suka selain mendapat maklum balas positif daripada warganet.

Tinjauan kami mendapati bahawa ada juga dalam kalangan warganet yang mencadangkan agar ganjaran itu dinaikkan kepada 10 juta yuan.

Untuk rekod, sehingga Rabu, koronavirus telah dilaporkan berjangkit kepada hampir 25,000 individu di 28 buah negara dengan jumlah kematian mencecah 500 orang.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak koronavirus, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca