Seorang wanita telah berkongsi satu foto tatunya yang kelihatan begitu luar biasa. Ia bukan sekadar gambar tetapi terdapat satu kisah yang sangat sukar untuk dipercayai di sebalik ukiran tatu di tangannya itu.
Sekilas pandang, tulisan cakar ayam itu kelihatan seolah-olah tatu tersebut ditulis dalam bahasa asing. Namun begitu, jika dibaca dengan teliti, ia sebenarnya merupakan satu ungkapan iaitu “It’s real” yang membawa maksud ia nyata.
Wanita yang dikenali sebagai Madie Johnson itu mencacah tatu berkenaan di pergelangan tangannya sebagai mengingati kisah ibu saudaranya yang bernama Tina Hines.
Hines yang merupakan ibu kepada empat orang anak itu pernah meninggal dunia selama 27 minit sebelum dia dihidupkan semula dan bangkit menjalani kehidupan seperti biasa.
Percubaan untuk menghidupkannya semula dilakukan sebanyak enam kali di mana empat daripada jumlah itu dilakukan sendiri oleh suaminya manakala selebihnya di hospital.
View this post on InstagramA post shared by Madie Johnson (@madiejohnson) on
Johnson dari California, Amerika Syarikat berkongsi gambar tatutnya itu di laman Instagram dan mendapat lebih daripada 18,000 tanda suka.
“Lebih kurang setahun lalu, aunty Tina, salah seorang insan paling hebat, cergas dan sihat yang pernah saya kenal mendapat serangan jantung yang menurut doktor dia telah mati dan dibangkitkan semula sebanyak empat kali oleh uncle Brian,” coretnya.
“Defibrillator digunakan ke atasnya dan beberapa minit selepas itu, keajaiban telah berlaku di mana dia telah sedar semula namun dia tidak boleh bercakap. Perkara pertama yang dia lakukan adalah meminta pen dan menulis, ‘It’s real‘.”
“Orang-orang di dalam bilik itu bertanya ‘Apa yang nyata?’ dan dia menjawab dengan menunjuk ke langit dengan air mata berlinangan.”
“Kisahnya terlalu menarik untuk tidak dikongsi,” tulisnya lagi.