Selepas pelbagai spekulasi yang dibuat di media sosial tentang hubungan Shuib dan kumpulan Sepahtu, Jep akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan isu ini daripada berleretan.
Menerusi hantaran di laman Instagram, Jep menjelaskan bahawa semua perkara ini berlaku selepas Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad didakwa membuat perkara tidak elok dalam satu babak di Sepahtu Reunion Live (SRL) sehingga ia menerima kecaman hebat daripada orang ramai.

“Jadi hari ini saya akan bagitahu kenapa dia (Shuib) tidak ada dalam SRL bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan andaian yang boleh menjadi fitnah. Ini kerana jawapan yang selalu dia keluarkan tergantung dan sentiasa berubah-ubah.
Ceritanya bermula ada babak yang dia mainkan dalam SRL mendapat kecaman teruk daripada penonton. Ia berlaku ketika babak dia sedang mesin kelapa. Jadi pihak Astro mengeluarkan arahan untuk dia minta maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan penggantungan selama dua minggu.
Tindakan itu sebagai peringatan juga kepada kami pemain yang lain. Ini kerana SRL adalah tontonan keluarga dari pelbagai lapisan umur. Setelah meminta maaf, dia masih tidak puas hati dengan tindakan yang dikenakan lalu memberi kata dua sekiranya dia masih digantung 2 minggu dia memilih untuk tidak meneruskan lagi baki 50 episod yang tinggal,” ujarnya.
Jep atau nama sebenarnya Muhd Nadzri Zainal Abidin mengaku bahawa kumpulan Sepahtu ada menjemput dan mempelawa penyampai radio Suria FM itu untuk kembali beraksi pada SRL.

Walau bagaimanapun, penyampai radio Sinar FM itu menjelaskan bahawa mereka tidak menerima sebarang berita daripada Shuib. Atas sebab itu, ahli-ahli lain Sepahtu meneruskan program Sepahtu Reunion Live tanpa Shuib.
“Musim berganti musim, musim baru SRL pun tiba. Tidaklah kami melutut memujuk tetapi kami tanya, pelawa dan jemput semula. Kami tunggu keputusannya. Senyap tak ada berita. Mahu tak mahu kami teruskan juga tanpa dia.
Peminat terus menerus bertanya. Tak ada kenyataan sebenar atas apa sebenarnya yang berlaku yang dikeluarkan. Yang sering dibuat kenyataan tergantung, kenyataan yang mendatangkan tanda tanya. Saya perhati saja. Fikiran saya tak perlu saya ikut campur, itu keputusan dia. Terpulang pada dia,” tambahnya.
Dalam pada itu, Jep turut mendedahkan bahawa Sepahtu tidak pernah membuang Shuib daripada kumpulan itu malah mereka menunggu kepulangan pelawak itu ke SRL.

“Sepahtu tidak pernah buang dia malah di satu waktu kami yang tertunggu dia kembali. Di saat dia nyatakan dia rehat dari dunia hiburan dan tak mahu buat rancangan apa pun satu per satu rancangannya keluar. Buat kami termangu-mangu.
Tak apalah. Kini hati pun telah tawar. Waktu berlalu pergi. Kisah kami yang indah indah saya simpan sendiri. Janganlah ditanya, diasak suruh bersama lagi.
Tidak ada sedikit rasa marah dan dendam cuma kenyataan untuk pembetulan. Walau tidak bersama Sepahtu, doa saya tetap bersama dia. Di mana pun dengan siapa pun. Semoga berjaya,” tulisnya.
Apa pendapat anda?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: