Agensi yang membawa ahli perniagaan Nur Sajat mengerjakan umrah telah mengesahkan bahawa individu berkenaan sudah dibawa keluar dari Tanah Suci Makkah.

Perkara itu dilakukan susulan kontroversi usahawan kosmetik berkenaan yang berpakaian seperti jemaah wanita ketika menunaikan umrah tular di media sosial.
Menurut jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd, langkah itu terpaksa diambil pihaknya ekoran isu berkenaan sudah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.
“Kami sudah meminta mutawwif membawa keluar rombongan Nur Sajat seramai 10 orang (termasuk mutawwif) keluar dari Makkah,” ujarnya.
“Mereka dibawa untuk sesi lawatan di sekitar Madinah.”
Ketika dihubungi pihak Berita Harian, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzzaman sukar untuk memberi kerjasama dan perbincangan banyak dilakukan menerusi pembantu peribadi beliau.

Selain itu, Albayt Travel turut meminta usahawan kosmetik berkenaan untuk memohon maaf secara terbuka khususnya kepada umat Islam di tanah air ekoran kekecohan dan kecaman terhadap rakaman video yang dimuat naiknya ke laman media sosial baru-baru ini.
“Setakat ini Nur Sajat hanya menjawab meminta untuk menunggunya kembali ke tanah air,” kata jurucakap Albayt Travel lagi.
Di samping itu, percubaan untuk berbincang dengan ibu bapa ahli perniagaan itu bagi mengetahui status jantinanya juga menemui jalan buntu.
Walau bagaimanapun, jurucakap Albayt Travel memaklumkan kedutaan di sana belum mengesahkan dakwaan kononnya Nur Sajat ditangkap polis Arab Saudi.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, petang ini akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan info lanjut mengenai isu jantina usahawan kontroversi itu.
Terdahulu, posting yang dimuat naik Nur Sajat ke laman Instagramnya dikecam hebat warganet tempatan kerana ahli perniagaan itu memakai telekung seperti jemaah wanita saat menunaikan umrah di Tanah Suci bersama ibu bapa dan beberapa teman rapatnya.
Untuk membaca artikel lain berkaitan isu Nur Sajat di Tanah Suci, sila klik pada pautan di bawah: