Isu Rosakkan Pokok Hiasan DBKL, Pengurus Instafamous Ini Tampil Beri Penjelasan

Seorang model yang juga merupakan selebriti Instagram menerima amaran keras daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini selepas melakukan sesi penggambaran di taman bunga River of Life.

Pengurus kepada Iman Alyssa Sahabudin iaitu Adib menjelaskan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan pihak butik Leeyanarahman. Mereka mahu mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara tersebut dengan pihak DBKL.

“Kami sudah menghubungi Leeyanarahman dan kedua-dua pihak sedang berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Apa-apa pun, perkara sudah terjadi. Ia memang satu perkara yang dikesali kerana ia tidak disengajakan oleh Iman.

Iman hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang model. Apa yang boleh saya katakan adalah kami akan segera menghubungi pihak DBKL selepas kedua-dua pihak selesai berbincang. Kami pun tidak mahu biarkan perkara ini berpanjangan,” jelasnya kepada mStar.

Bagi yang masih keliru, pemilik butik Leeyanarahman.co iaitu Nur Liyana Abdul Rahman memuat naik satu klip pendek memaparkan Iman ketika sesi penggambaran koleksi pakaian butiknya baru-baru ini.

Namun, apa yang lebih mengundang kemarahan orang ramai adalah ia turut merakam bunyi ranting pokok-pokok bunga yang patah setelah dihempap model berkenaan.

DBKL telah memberi amaran kepada mereka yang terlibat dalam penggambaran video tersebut menerusi satu hantaran di laman Facebook mereka.

“Tidak kira anda siapa atau apa pun tujuan di sebalik penggambaran ini, anda telah melakukan kesalahan di sini. Pertama, anda merosakkan harta benda Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme.

Kedua, anda melakukan penggambaran ini tanpa memperoleh kebenaran terlebih dahulu daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur. Sebagai peringatan, sebarang aktiviti termasuk penggambaran yang dilakukan sepanjang presint River of Life (RoL) perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Hal ini demikian kerana bunga dan pohon renek itu ditanam untuk menghiasi dan mengindahkan lapangan,” tulisnya.

Adib menegaskan bahawa apa yang berlaku itu sememangnya dikesali walaupun ia tidak disengajakan oleh model berkenaan.

“Apa yang saya tahu ia merupakan satu aksi yang berlaku secara spontan. Ketawa itu pula adalah reaksi semula jadi namun malangnya ia memberi satu gambaran sebaliknya.

Iman sendiri sudah tentu sedih kerana dia tidak mempunyai niat langsung untuk melakukan perkara itu. Iman hanya menjalankan tugasnya sahaja. Kami daripada pihak pengurusan Iman ingin memohon maaf atas insiden yang berlaku ketika penggambaran tempoh hari,” ujarnya.

Apa-apa pun, semoga insiden ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada semua orang pada masa hadapan.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Instafamous, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca