Isu Potret Gergasi Pemimpin Negara Diconteng, Ini Reaksi Pelukis Mural Tersebut

Baru-baru ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan kejadian vandalisme ke atas sebuah mural gergasi di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 yang melibatkan beberapa pemimpin negara.

Salah seorang daripada tiga pelukis mural berkenaan iaitu Muhamad Firdaus Nordin berkata insiden itu tidak akan menghalang dia dan dua orang rakannya iaitu Muhammad Suhaimi Ali serta Abdul Hadi Ramli untuk berkarya lagi pada masa hadapan.

“Walaupun hasil seni dicemari vandalisme dan terpaksa ‘dipadam’ sepenuhnya, ia langsung tidak buat kami serik untuk berkarya lagi,” jelasnya.

Firdaus akui beliau dan rakan-rakannya pernah menjangkakan mural pemimpin negara itu mempunyai kemungkinan untuk dirosakkan pihak tertentu tetapi apa yang berlaku pada Isnin lalu adalah di luar jangkaan kerana tempohnya agak singkat sejak ia menjadi bualan ramai.

“Kami tipu kalau tidak sedih tengok hasil seni titik peluh diconteng seperti itu dan kemudiannya dipadam sepenuhnya. Kami tidak diupah untuk melukisnya tetapi ia sudah beri satu tahap pencapaian membanggakan yang tidak disangka-sangka dengan menyiapkan lukisan itu,” katanya kepada Bernama semalam.

Sumber: Instagram Istana Negara

Walaupun hasil seninya bersama dua orang rakannya tidak ‘dihargai’ pihak tertentu, Firdaus menegaskan ia sama sekali tidak melunturkan semangat mereka malah tidak keberatan untuk kembali melukis di lokasi sama.

“Perbincangan untuk lukis atau tidak di lokasi sama akan dibuat selepas keadaan kembali reda dan mendapat kebenaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Siasatan terhadap pelaku vandalisme pun sedang dilakukan oleh polis.

Kita tengok macam mana apabila semua dah selesai. Saya cuma berharap kedua-dua suspek yang disyaki menconteng lukisan mural itu ditangkap secepat mungkin kerana ia bukan sahaja menimbulkan kemarahan kami tetapi juga kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, potret mural gergasi beberapa pemimpin negara termasuk Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada dinding sebuah bangunan kedai di Seksyen U12, Shah Alam ini diconteng dengan kata-kata kesat pada Isnin lalu sehingga seluruh lukisan di dinding itu terpaksa dipadam oleh pihak MBSA.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca