Isu Plagiat, Penerbit Filem Tamil Mahu Saman Direktor Parasite

Penerbit filem Tamil iaitu PL Theappan mengumumkan beliau akan menyaman pengeluar filem Parasite atas tuduhan plagiarisme.

Menurut laporan, filem Korea Selatan, Parasite itu merupakan versi rip-off sebuah filem Tamil berjudul Minsara Kanna.

“Saya akan memfailkan kes dengan bantuan seorang peguam antarabangsa. Mereka telah menggunakan plot filem saya tanpa kebenaran,” ujar PL Thenappan.

PL Thenappan turut menambah beliau bakal menuntut pampasan daripada pengeluar filem Parasite kerana mengambil idea daripada filemnya.

Filem Parasite yang diarahkan oleh Bong Joon-ho mencatatkan sejarah selepas menjadi filem bahasa asing pertama yang memenangi anugerah Filem Terbaik di Oscars, selain turut membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik dan Filem Luar Terbaik.

Sementara itu, filem Minsara Kanna pula diterbitkan pada tahun 1999 dan menampilkan pelakon Tamil popular yakni Vijay.

Susulan daripada kemenangan Parasite di persada antarabangsa itu, peminat Vijay telah membanjiri laman sosial selebriti berkenaan dan mendakwa terdapat persamaan di antara kedua-dua filem berkenaan.

Walaupun ramai pihak yang tidak mengambil serius dakwaan kumpulan peminat itu, PL Thenappan berfikir sebaliknya.

Sementara itu, pengarah Minsara Kanna, S. Ravikumar pula menyifatkan kontroversi berkenaan sebagai satu kebanggaan kerana ia menarik perhatian dunia kepada filemnya.

Walau bagaimanapun, pengarah filem berkenaan tidak berniat untuk mengambil mana-mana tindakan.

“Saya gembira kerana Parasite menerima anugerah Oscar meskipun ia mungkin menjadikan Minsara Kanna sebagai inspirasi,” terang pengarah itu.

“Tetapi untuk menyaman, hal itu saya serahkan pada penerbit.”

Minsara Kanna, mengisahkan tentang Kaasi (lakonan Vijay) memasuki rumah seorang wanita kaya sebagai pemandu dan membawa ahli keluarganya, seorang demi seorang untuk bekerja di rumah tersebut dengan motif tersembunyi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan filem, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca