Isu Pengambilan Tanah Kampung Baru, Ambil Secara Paksa Adalah Pilihan Terakhir

Pengambilan tanah Kampung Baru secara paksa mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah langkah terakhir yang akan diambil oleh kerajaan sekiranya ada segelintir pihak yang masih tidak mahu menjual tanah milik mereka.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, langkah terakhir itu mungkin terpaksa diambil bagi memberi keadilan kepada pemilik tanah lain yang bersetuju untuk menjual bahagian mereka.

“Kita akan cuba pujuk juga lagi tetapi akhirnya kalau masih tidak dapat pujuk, kita kena tengoklah dari sudut keadilan orang yang dah ada hak dia. Lagipun yang duduk di Kampung Baru bukan semuanya senang mungkin dia perlukan duit itu untuk hantar anak belajar luar negara dan sebagainya,” kata Khalid pada sidang media selepas menghadiri Grand Final Karnival Sukan Parlimen Wilayah Persekutuan Tahun 2019 di Putrajaya.

Semalam, Khalid mengumumkan tawaran terakhir kepada pemilik tanah Kampung Baru iaitu harga sebanyak RM1,000 setiap kaki, dengan RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan oleh setiap pemilik tanah.

Empat pilihan tersebut adalah pulangan tunai; pulangan unit siap; kombinasi pulangan tunai dan unit siap; dan pulangan pemegang saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Menurut Khalid lagi, Perbadanan Kampung Baru (PKB) telah diarahkan untuk bertemu semua pemilik tanah dalam skala kecil supaya penjelasan mengenai pengambilan tanah tersebut dapat diberikan secara lebih berkesan.

Tambah beliau lagi, tawaran terakhir ini merupakan tawaran terbaik yang pernah dikemukakan dalam sejarah bagi pemilik tanah Kampung Baru. Walau bagaimanapun, sesetengah pihak menyifatkan tawaran tersebut masih lagi rendah.

Menurut Pengerusi Koperasi Pentadbiran Mas Kampung Baru Kuala Lumpur Berhad (Maskop), AR Mohtar Rahmad, ia tidak sepadan dengan lokasi Kampung Baru yang sangat strategik dan terletak di tengah kota Kuala Lumpur. Tambah beliau, pada Mac 2018 Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah berkata tanah di Kampung Baru berharga RM2,000 setiap kaki.

Mohtar juga mencadangkan kerajaan mengemukakan tawaran lain, sambil berharap kerajaan turut terlibat sama dalam membangunkan semula Kampung Baru. Selain itu, kerajaan juga perlu membawa masuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membuka pejabat di situ dengan tempoh pajakan yang dicadangkan selama 25 tahun.

Tarikh akhir yang ditetapkan untuk para pemilik tanah mengemukakan borang maklum balas mengenai persetujuan pembangunan semula Kampung Baru ialah sebelum 15 November ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca