Perlawanan Malaysia menentang Bahrain yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023 baru-baru ini mencuri perhatian orang ramai selepas beberapa orang pekerja stadium dilihat menggunakan penyodok dan kadbod untuk mengeluarkan air dari padang.
Insiden itu turut tular di media sosial apabila orang ramai kongsikan kejadian tersebut kerana air dilihat bertakung dalam kuantiti banyak di tengah-tengah padang pada waktu rehat separuh masa pertama perlawanan.
Selepas isu itu tular, Mohd Faidz Sanusi iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia tampil memberi penjelasan di laman Facebook.

“Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berpendirian perlawanan Malaysia menentang Bahrain pada Sabtu lalu bagi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebaiknya ditangguhkan sekurang-kurangnya 30 minit bagi memberikan masa untuk sistem perparitan padang berfungsi dengan lebih baik.
Walaupun cadangan agar perlawanan itu ditangguhkan ke jam 9.30 malam telah diutarakan pada Sabtu lalu, permainan tersebut tetap diteruskan seperti waktu kick-off yang ditetapkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Faidz menegaskan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan arahan kepada pekerja stadium untuk menggunakan penyodok dan kadbod sebagai alat untuk mengeluarkan air dari padang.

“Kami di PSM ingin menjelaskan bahawa penangguhan itu amat perlu selepas menyaksikan hujan lebat lebih dua jam tanpa henti di kawasan sekitar Bukit Jalil.
Selain itu, tindakan penyodok sampah adalah tidak wajar dan telah menyebabkan padang tersebut rosak secara tidak langsung. PSM ingin menyatakan komitmen kami sekali lagi untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan baki perlawanan Kejohanan Kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung dengan lebih baik dan teratur.
PSM bersama Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan proses penukaran padang stadium yang dijadualkan bermula pada suku pertama tahun hadapan.
Lain-lain penambahbaikan Stadium Nasional Bukit Jalil akan bermula selepas komitmen acara-acara lain yang telah ditempah oleh para penganjur pada tahun ini,” tambahnya.
Apa pendapat anda?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: