Kerajaan Singapura tampil membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau Jocelyn Chia iaitu pelawak yang berasal dari negara itu.
Memetik laporan Sinar Harian, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia iaitu Vanu Gopala Menon berkata beliau sangat terkejut dengan komen-komen menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam sebuah pementasan komedi di hadapan penonton baru-baru ini.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain.
Jocelyn yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami. Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia,” jelas Vanu Gopala dalam satu kenyataan semalam.
Vanu Gopala berkata demikian sebagai mengulas laporan pelawak berasal dari Singapura yang tular baru-baru ini kerana memperlekeh dan menghina Malaysia menerusi persembahan komedi di hadapan penonton.

Orang ramai menyifatkan persembahan komedi itu sebagai melampau kerana Jocelyn turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenakanya sehingga menimbulkan kemarahan warganet.
Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, Jocelyn menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Pada masa yang sama, beliau berkata Singapura dan Malaysia sebagai jiran terdekat menikmati hubungan kukuh di pelbagai peringkat dengan ikatan yang cukup mendalam.
“Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan yang erat antara rakyat dengan rakyat. Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” tegasnya.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: