Isu Laporan Al Jazeera, Lelaki Ini Tampil Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia

Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh iaitu Md Rayhan Kabir menjadi bualan ramai selepas mendakwa layanan kerajaan Malaysia terhadap golongan berkenaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai satu bentuk penindasan kaum, tidak berperikemanusiaan dan bersifat prejudis terhadap golongan tersebut.

Memetik laporan Sinar Harian, peguam yang mewakili Md Rayhan iaitu C.R. Selva berkata permohonan maaf tersebut disampaikan oleh lelaki itu sendiri ketika mereka bertemu di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

“Semasa sesi pertemuan itu, Rayhan meminta saya untuk menyampaikan permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia dan anggota penguat kuasa,” ujarnya.

Untuk pengetahuan anda, Md Rayhan telah ditahan oleh agensi berkenaan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu.

Menerusi dokumentari Locked Up In Malaysia’s Lockdown terbitan Al Jazeera, Rayhan membuat sebuah kenyataan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada PATI ketika Malaysia melaksanakan PKP untuk membendung penularan COVID-19.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata lelaki terbabit akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Menurut Selva lagi, anak guamnya membuat kenyataan itu berdasarkan apa yang dilihat ketika rakannya ditahan dan diarahkan untuk masuk ke dalam lori penguat kuasa JIM.

“Rayhan tidak dapat menerima apa yang dilihatnya itu dan ia merupakan pandangan peribadinya. Walau bagaimanapun, beliau tidak berniat untuk menuduh pihak berkuasa,” katanya.

“Rayhan menerima keputusan pihak berkuasa untuk menghantarnya pulang. Beliau juga tidak sabar untuk berjumpa semula dengan keluarganya,” jelasnya sambil menambah kebajikan anak guamnya itu terpelihara sepanjang ditahan pihak Imigresen.

Walau bagaimanapun, Selva berkata pihaknya masih belum menerima tarikh pengusiran Rayhan dan akan terus berhubung dengan Jabatan Imigresen untuk perkembangan kes itu.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Rayhan Kabir, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca