Isu Laporan Al Jazeera, Lelaki Ini Kini Diburu Imigresen

Baru-baru ini, sebuah dokumentari yang dimuat naik oleh Al Jazeera di laman YouTube ini menerima kecaman hebat daripada orang ramai.

Tindakan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh, Rayhan Kabir yang memberi dakwaan palsu mengenai layanan pihak berkuasa Malaysia terhadap golongan ini menerusi temu bualnya bersama agensi berita berkenaan ternyata memakan dirinya sendiri.

Hal ini demikian kerana Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) memohon bantuan orang awam menjejaki lelaki tersebut untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, syarikat Malik Streams Production & Distribution (MSPD) turut menafikan Rayhan ialah seorang pekerja di syarikat mereka menerusi sebuah kenyataan di laman Facebook.

“Kami terkejut dengan kenyataan pada akaun Facebook Rayhan Kabir yang menyatakan beliau adalah Ketua Pemasaran di syarikat ini,” ujarnya.

MSPD turut mengesahkan bahawa satu tindakan akan dibuat ke atas lelaki itu kerana telah memburukkan syarikat berkenaan. MSPD menutup kenyataan mereka dengan menyatakan sokongan terhadap rakyat Malaysia dan mengkritik dokumentari Al Jazeera yang dilihat berat sebelah dan sengaja mahu memburukkan imej negara di mata dunia.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia menerusi Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mencabar Al Jazeera untuk menyenaraikan nama negara yang memberi kebebasan mutlak kepada golongan PATI yang masuk ke negara mereka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud juga mengesahkan pas imigresen mana-mana pendatang asing yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat atau mempunyai niat jahat untuk memburukkan Malaysia boleh dibatalkan dan mereka diminta untuk meninggalkan negara.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan PKPD, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca