Isu Langgar SOP Dalam Majlis Buka Puasa, Ini Respons Caprice

Sebuah majlis berbuka puasa yang dipercayai turut dihadiri oleh beberapa orang selebriti ternama tanah air seperti Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye, Mawar Rashid dan PU Hafiz menjadi bualan ramai di media sosial.

Memetik laporan Free Malaysia Today, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan turut memanggil beberapa orang artis seperti Caprice, Iman Troye dan PU Hafiz yang menghadiri majlis berkenaan untuk mendapatkan keterangan mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi iaitu Mohamad Zainal Abdullah berkata tiga orang individu membabitkan penganjur dan seorang lagi daripada pihak pengurusan hotel sudah dipanggil memberi keterangan.

Ini kerana beberapa keping gambar tular itu menunjukkan wujudnya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana tiada penjarakan fizikal dapat dilihat antara individu-individu berkenaan.

Selepas berita itu tular, Caprice tampil memuat naik satu hantaran di laman Instagram beliau berkenaan majlis yang dianjurkan. Dalam hantaran itu, Caprice meluahkan rasa kecewa beliau dengan sikap seorang influencer yang hadir ke majlis berkenaan.

“Demi produk dan marketing, sanggup aniaya artis-artis lain dan anak yatim? Tolong buat pengakuan kepada pihak polis bahawa kamu hadir ke majlis berbuka puasa tertutup kami, bawa jurukamera sendiri dan pandai-pandai tarik artis dan anak yatim di luar event hall untuk bergambar dengan produk anda. Pandai-pandai buat kerja, pandai-pandailah tanggung,” ujar Caprice.

Sejak gambar-gambar itu tular, Caprice akui telah menerima banyak panggilan telefon daripada wartawan untuk mendapatkan penjelasan beliau berkenaan majlis tersebut.

Pada pendapat Caprice, ia tidak adil apabila orang lain yang ‘buat hal’ tetapi beliau pula yang kena menjawab kepada pihak polis dan wartawan.

Dalam pada itu, instafamous yang dimaksudkan iaitu Nurin Afiqah memuat naik satu hantaran di Instagram story yang berbunyi, “Saya akan kembali. There’s always two sides of the story.”

Sumber: Instagram @nurinafiqaaah

Nurin juga pernah memuat naik satu bebenang di laman Twitter berkenaan isu ini apabila ia mula-mula tular.

Apa pendapat anda berkenaan perkara ini?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca