Isu Judi Sungai Buloh, Pemilik Bisnes Burger Ini Dihubungi Individu Gelar Diri ‘Ayahanda’

Baru-baru ini, nama Mohd Asri Hamid menjadi bualan ramai selepas beliau membongkarkan kegiatan judi dan penjualan rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Memetik laporan Harian Metro, pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia yang turut dikenali sebagai Asri Janggut ini kemudiannya dihubungi oleh seorang individu yang mengaku sebagai ‘ayahanda’ melalui panggilan telefon.

Individu yang mengaku sebagai ‘ayahanda’ itu tidak berpuas hati dengan tindakan Mohd Asri membuat pendedahan tersebut.

“Individu berkenaan memaklumkan bahawa dia tidak berpuas hati dengan tindakan saya mendedahkan kegiatan judi di kawasan ini dengan berkata bahawa ia merupakan satu perkara yang salah.

Walau bagaimanapun, saya tidak menerima apa-apa ugutan. Saya sudah merujuk perkara itu kepada pihak polis menerusi perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di mana beliau memaklumkan akan melakukan siasatan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Bagi yang masih keliru, Mohd Asri membuat tiga siaran langsung di akaun Facebook Hot Burger Malaysia pada hujung minggu lalu dengan mendakwa kewujudan premis judi dan penjualan rokok seludup secara haram di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Walaupun tiada ugutan diterima daripada mana-mana pihak berhubung pendedahan berkenaan, beliau yakin keselamatannya masih terancam.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Ketika perjumpaan tadi, Ketua Polis Negara mengucapkan terima kasih atas maklumat ini dan meminta saya cerita mengenai perkara yang berlaku.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya tidak takut dalam mendedahkan perkara ini. Ketua Polis Negara juga memaklumkan akan membanteras kegiatan judi kerana beliau tidak suka aktiviti itu berleluasa di negara ini,” tambahnya.

Semoga individu yang terlibat dalam kegiatan berkenaan menerima hukuman yang setimpal.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca