Berikutan isu tuntutan hak cipta lagu Sumpah yang dikatakan hasil daripada Naim Daniel bersama dengan bekas teman wanitanya iaitu Dayana Amerda, Ketua Juri, Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34), Ajai mengesahkan bahawa beliau masih belum menerima sebarang arahan daripada pihak TV3 berhubung isu ini.

Jelas Ajai lagi, walaupun beberapa pihak memohon penarikan anugerah tersebut daripada Naim Daniel, dia berasa ia bukanlah satu tindakan yang wajar. Hal ini kerana, bagi beliau lagu Sumpah itu bukan lagu ciplak, sebaliknya ia membabitkan isu peribadi di antara kedua belah pihak.
“Saya mengetahui kekecohan lagu Sumpah sejak semalam lagi, tetapi belum ada wakil TV3 menghubungi saya. Secara peribadi, tiada sebab menarik kemenangan lagu berkenaan kerana bukan karya ciplak.”
“Cuma, saya ingin mengingatkan generasi baharu, jika mereka ingin menceburi dunia muzik belajarlah bersikap jujur. Industri ini bukan untuk glamor tetapi untuk berkongsi karya.”
“Sekiranya lagu Sumpah ada tujuh pencipta, letak nama ketujuh-tujuh pencipta lagu. Ini bukan zaman 80-an atau 90-an yang mana lagu hanya dicipta seorang individu sahaja. Jika tidak mampu menghasilkan lagu dan perlu bergabung, maka bersikap jujurlah,” ulasnya kepada Berita Harian, semalam.
Untuk rekod, pihak syarikat rakaman yang menaungi Naim Daniel iaitu World Peace Entertainment (WPE) telahpun menegaskan bahawa lagu Sumpah itu kekal milik penyanyi Naim Daniel dan Omar K sebagai penggubah lagu.
Pihak WPE juga meminta pihak Dayana untuk mengemukan bukti-bukti yang kukuh ke e-mel yang diberikan untuk perbincangan.

Untuk membaca artikel lain berkenaan Naim Daniel, sila klik pautan di bawah: