Isu Guna Lambang Kemahkotaan Sultan Johor Tanpa Kebenaran, Wak Doyok Kini Didakwa

Terdahulu, timbul isu di mana Wak Doyok telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri berikutan tindakan selebriti itu membeli dan menggunakan cincin berukir lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Susulan kes itu, personaliti fesyen itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan tersebut.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob.

Tertuduh didakwa membuat kesalahan berkenaan di pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri pada 30 April kira-kira 2.15 petang.

Beliau didakwa  melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) (a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3 (3) enakmen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara minimum setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pada mulanya Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memohon mahkamah untuk menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000 dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Walau bagaimanapun, Syaffie Naim dan MN Halim Md Amin, peguam yang mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan memandangkan pendapatan tertuduh telah terjejas berikutan wabak COVID-19 dan masih menjaga ibunya yang berusia 78 tahun.

Hakim kemudian memerintahkan Wak Doyok membayar jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes akan dibuat pada 15 Jun depan bagi penyerahan dokumen.

Untuk membaca artikel lain berkaitan selebriti Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca