Sejak ditayangkan pada 14 Januari lalu, Projek: High Council dilihat berjaya mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan pencinta drama tempatan.
Dibintangi barisan pelakon mantap seperti Nadhir Nasar, Naim Daniel, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Aida Aris dan Sazzy Falak, drama ini mengisahkan kisah gengsterisme dan buli dalam sebuah sekolah berasrama penuh lelaki.
Walau bagaimanapun, beberapa episod drama arahan bersama Anwari Ashraf dan Zulaikha Zakaria ini didakwa telah bocor di media sosial.
Report sahaja episod telah bocor di TikTok

Menerusi ciapan di laman Twitter, Naim Daniel yang membawa watak Ayam dalam drama ini memohon kerjasama daripada orang ramai untuk report sahaja sekiranya ternampak klip yang masih belum ditayangkan di platform Astro tetapi sudah ada di media sosial.
“Korang kalau ada nampak je leaked footage episod baru daripada Projek: High Council, jangan fikir banyak. Report je. Tak payah share lagi.
Buktikan yang korang lagi baik daripada menonton secara haram macam orang yang tak bertanggungjawab tu,” tulisnya.
Selain itu, Naim turut memuat naik tangkap layar di laman Instagram yang memaparkan sebuah grup Telegram yang didakwa telah memuat naik episod Projek: High Council yang masih belum ditayangkan di Astro.
“Siang malam kami seluruh tenaga produksi bersengkang mata memperjudikan KUDRAT dari terbit matahari hingga ke terbitnya matahari satu lagi.
Yang namanya dilakukan buat seni dibalas dengan ini. Siang malam ada yang gadai masa dengan anak bini, yang dah lama hilang masa dengan keluarga yang dicintai.
Yang bikin atas dasar mencari rezeki. Dicemari dengan cara sebegini.
Siang malam yang lebam-luka satu badan, yang cedera semasa penggambaran, yang hilang selera makan diduga oleh pihak yang hilang malu dan ihsan.
Siang malam yang bermati-matian buat persiapan, bukan makan hari tapi berbulan. Siang malam harap kepada tukang sebar, tukang tonton, tukang bayar, tukang beli SECARA HARAM. Selamat dan lenalah buat kalian siang dan juga malam,” ujarnya.

Amir Ahnaf yang menghidupkan watak Kahar juga dilihat menyokong kenyataan Naim apabila dia quote ciapan itu dengan berkata, “Tolong demi kami pengkarya seni. Let’s move to the next wave!”
Selain Naim dan Amir, Fadhli Masoot yang memegang watak Hakeem turut tampil bersuara dengan memuat naik video di TikTok untuk berkongsi pandangannya.

“Aku tak tahu macam mana boleh leak. Jujur aku cakap sedihlah sebab itu hasil kerja orang kut. Hasil titik peluh orang.
Aku tak faham. Kalau korang ada benda itu pun (episod-episod Projek: High Council yang masih belum ditayangkan di Astro), korang tengok sesama korang sahaja sudahlah.
Apa masalah korang nak post di TikTok? Tak tahulah. Sedih. Marah juga. Benda pun dah jadi kan,” ujarnya.
Anda boleh tonton video penuh Fadhli di sini.
Nadhir dan Mierul turut mohon kerjasama untuk berhenti sebar klip video bocor di TikTok

Terdahulu, Nadhir Nasar yang membawa watak Naim telah memuat naik bebenang di laman Twitter pada 8 Februari lalu dengan meminta orang ramai untuk menonton drama ini di platform yang betul dan sah.
“Salam semua. Ada few clips/ episod Projek: High Council yang belum lagi keluar di platform Astro tetapi sudah pun dibocorkan di TikTok.
Aku tak tahu kerja siapa dan aku tak tahu macam mana. Minta kerjasama semua kalau ada clips yang belum lagi ditayangkan jangan sebarkan dan report.
Kita layan barang halal bukan haram. Insya-Allah mudah mudahan.
Episod baru Projek: High Council setiap Sabtu di Astro On Demand dan Isnin di Astro Ria,” tulisnya.
Mierul Aiman yang menggalas watak Fakhri quote ciapan Nadhir dengan berkata, “Demi cinta, kasih dan sayang pada industri. Please.”

Buat anda yang belum menonton Projek: High Council, drama ciptaan Anwari Ashraf ini membuka mata orang ramai tentang kisah gelap yang menghantui kehidupan sebahagian besar pelajar-pelajar Kolej Ungku Deramat (KUDRAT).
Kisah gelap itu melibatkan sebuah kumpulan pelajar yang dikenali sebagai High Council di mana mereka berkuasa menjalankan aktiviti salah laku termasuk membuli pelajar lain.

Memetik laporan Kosmo, Anwari berkata dia mempersembahkan sebuah cerita fiksyen yang mengambil inspirasi daripada kisah benar yang pernah berlaku di Malaysia.
Anwari turut berkata perkataan yang digunakan dalam drama itu telah diambil daripada kisah benar yang terjadi di beberapa sekolah asrama penuh.
“Apa yang saya boleh cakap, paparan kisah dalam High Council berlaku di satu sekolah yang khusus.
Namun, tidak semestinya saya ambil semua benda yang berlaku dalam satu sekolah sahaja. Saya kutip cerita lebih kurang sama.
Penggunaan perkataan kapla (ketua) dan jibam (buat laporan) memang wujud.
Saya yakin sesiapa yang pernah bersekolah asrama lelaki apabila menonton cerita ini mesti ketawa atau imbas semula kenangan,” ujarnya.
Apa-apa pun, kami ingin menasihatkan anda semua untuk menonton Projek: High Council di platform yang betul dan sah untuk memajukan industri perfileman tempatan.
@lejendigital Tak sabar nak tunggu next episode Projek: High Council! Btw guys, kami tahu ramai yang tak sabar nak tengok next episode tapi jangan layan PHC secara haram tau! 🙏 #lejendigital #projekhighcouncil #supportlokal #fyp
♬ Seberapa Pantas (Cover) – Mom_Ina❤️
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: