Umum sudah tahu tentang isu Black dan Tomok meminta bantuan khusus untuk artis-artis di Malaysia sehingga ia menimbulkan perbalahan di antara artis dan warganet. Penyanyi dan pelakon Naim Daniel, memberikan pendapat beliau menerusi satu video yang dikongsikan di Instagram.
Di dalam video yang berdurasi 2 minit dan 40 saat itu, Naim Daniel berpendapat tidak perlu ada hak keistimewaan tertentu buat golongan penggiat seni.
“Saya tak rasa sebagai artis perlu ada hak istimewa. Pada masa sekarang, kita semua adalah rakyat Malaysia.
Sebagai rakyat, ia sudah menyeluruh. Tak kisahlah penyanyi, pelakon atau komposer, kita adalah rakyat Malaysia termasuk yang masih bujang atau sudah berkahwin.
Jadi, boleh minta bantuan macam biasa mengikut apa disarankan kerajaan. Selama ini pun, memang kerajaan membantu,” katanya.
Penyanyi muda itu turut berkata ini adalah masa untuk setiap golongan tidak melabel diri mereka dari sektor pekerjaan tertentu untuk mendapatkan bantuan khusus.
“Saya rasa, ketika ini pada situasi penularan COVID-19 yang berlaku dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semuanya kena dilihat dari sudut kemanusiaan.
Kalau saya sendiri pun dalam kesusahan, minta bantuan macam biasa. Saya tak rasa dalam keadaan sekarang, perlu diwujudkan bantuan khusus.
Jika nak dibuat juga, itu di atas inisiatif unit artis sendiri yang nak membantu penggiat seni” katanya lagi di dalam video tersebut.
Kita sama-sama rakyat. Tak ada beza. https://t.co/dIUwR6BEBx
— Naim Daniel (@naimdanielx) March 29, 2020
Beliau turut merasakan pada waktu ini ada banyak perkara lain yang lebih penting harus dibicarakan berbanding bantuan khusus untuk penggiat seni ini.
Tambah beliau, kerajaan telah pun kemukakan pengumuman bantuan untuk pelbagai sektor. Sekiranya ada pihak betul-betul memerlukan, mereka hanya perlu mengikut prosedur yang betul untuk memohon.
Menurut penyanyi muda itu, hal ini juga menjadi peringatan kepada dirinya sebagai individu yang bekerja dalam industri hiburan dan penggiat seni. Ini kerana mereka tidak akan berada di atas selamanya.
Membuat simpanan sewaktu nama masih lagi dikenali dan diperlukan adalah satu tindakan yang perlu untuk jaminan masa depan.
Perkongsian video itu telah mendapat sokongan daripada warganet yang rata-rata bersetuju dengan kenyataan beliau.


Apa-apa pun, pada saat genting ini elakkan diri daripada berkata perkara yang tidak sensitif kerana semua orang berada dalam keadaan tegang dan susah. Diharapkan isu ini selesai dan kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia berdoa negara kita berjaya membendung COVID-19 ini dengan cepat. Lebih lama Perintah Kawalan Pergerakan ini berjalan, lebih ramai golongan yang akan terjejas.
Rakyat juga dinasihati untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri untuk mengelakkan diri daripada berjangkit. Selain itu, pastikan anda sentiasa berada di rumah dan patuhi arahan kerajaan.
Untuk membaca artikel lain berkenaan selebriti Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah: