Isteri Hidap Tumor Ketika Hamil Anak Kedua, Ed Sheeran Keluar Album Baharu

Penyanyi terkenal antarabangsa Ed Sheeran mendedahkan bahawa dia mengalami kemurungan pada tahun lalu selepas mengetahui isterinya menghidap tumor dan rakan baiknya Jamal Edwards meninggal dunia secara mengejut pada usia 31 tahun.

Isteri Ed iaitu Cherry Seaborn disahkan mengalami ketumbuhan ketika hamil anak kedua mereka. Lebih memilukan lagi, sahabat baiknya iaitu Jamal menghembuskan nafas terakhir secara mengejut pada tahun lalu.

Sumber: Instagram @teddysphotos

“Saya telah bekerja untuk Subtract selama sedekad. Saya cuba menghasilkan album akustik sempurna dengan menulis dan merakam ratusan lagu dengan visi yang jelas seperti mana yang saya mahukan.

Pada awal tahun 2022, satu siri peristiwa yang berlaku mengubah hidup saya, kesihatan mental saya dan akhirnya cara saya melihat muzik dan seni.

Menulis lagu adalah terapi saya. Ia membantu saya memahami perasaan saya. Saya menulis tanpa memikirkan lagu-lagu apa yang akan terhasil.

Sumber: Twitter @edsheeran

Saya hanya menulis apa sahaja yang terlintas dalam minda dan dalam masa lebih seminggu saya menggantikan kerja selama sedekad dengan pemikiran paling gelap saya,” tulisnya.

Pelantun lagu The Joker And The Queen itu berkata tumor yang dihadapi isterinya tidak boleh dirawat sehingga wanita itu melahirkan puteri kedua mereka.

“Dalam tempoh sebulan, isteri saya yang hamil diberitahu bahawa dia menghidap tumor dengan tiada laluan untuk rawatan sehingga selepas melahirkan anak kami.

Kawan baik saya Jamal yang juga seperti seorang abang kepada saya meninggal dunia secara tiba-tiba dan saya mendapati diri saya berdiri di mahkamah mempertahankan integriti dan kerjaya saya sebagai penulis lagu.

Sumber: Instagram @teddysphotos

Saya hidup dalam ketakutan, kemurungan dan kebimbangan. Saya berasa seperti lemas, kepala di bawah permukaan, melihat ke atas tetapi tidak dapat bernafas,” tambahnya.

Ed turut menyifatkan album baharunya iaitu Subtract sebagai membuka ‘pintu perangkap’ dalam jiwanya, “Sebagai seorang artis, saya tidak rasa saya boleh mengeluarkan karya boleh dipercayai ke dunia yang tidak mewakili dengan tepat di mana saya berada dan bagaimana saya perlu meluahkan diri saya pada ketika ini dalam hidup saya.

Album ini membuka pintu perangkap ke dalam jiwa saya. Buat pertama kalinya, saya tidak cuba mencipta album yang orang ramai suka tetapi saya hanya mengeluarkan sesuatu yang jujur ​​dan benar dalam kehidupan dewasa saya.”

Menerusi ciapan di laman Twitter, Ed mengesahkan bahawa album terbaharunya Subtract bakal dilancarkan pada 5 Mei ini.

Anda boleh tonton video trailer untuk album Subtract di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca