Ismail Sabri Dilantik Sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melantik Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Susulan daripada peletakan jawatan Yang Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin pada 16 Ogos lalu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu telah diadakan di Istana Negara hari ini (20 Ogos) yang bermula pada jam 2.30 petang.

Sumber: Twitter

Melalui satu kenyataan media rasmi dari Istana Negara, Perbincangan Khas ini adalah bagi melangsungkan proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama negara pada 17 Ogos lalu.

Istana Negara telah menerima pencalonan daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021.

Dari surat akuan tersebut, seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri.

Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ahli Parlimen Bara, Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga berharap agar kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 diteruskan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini.

Dalam kenyataan tersebut, setinggi-tinggi penghargaan turut dizahirkan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berpelembagaan.

Proses berikutnya, iaitu Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri telah dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di Istana Negara.

Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan Ismail Sabri, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca