iPhone SE Gen 2 Bermula Pada Harga RM1,999 Dilancar, Tarikh Pasaran Malaysia Belum Diumum

Apple mengumumkan iPhone SE Generasi Kedua (Gen 2), dengan harga yang kompetitif dan berpatutan, jika dibandingkan dengan barisan keluaran iPhone yang lain.

Beberapa tahun lalu, iPhone SE Generasi Pertama mula dipasarkan. Ia juga ditawarkan pada harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan model lain jenama tersebut.

Kali ini harga permulaan bagi iPhone SE Gen 2 adalah RM1,999 bagi versi 64GB. Versi 128GB pula adalah RM2,199, manakala versi 256GB pula adalah RM2,699.

Peranti kali ini dikeluarkan dengan rekaan klasik iPhone SE asal tetapi dijana dengan cip pemproses Apple A13 Bionic yang digunapakai pada iPhone 11 tahun lalu.

iPhone SE Gen 2 datang dengan tiga pilihan warna iaitu putih, hitam dan Product Red

Penularan wabak COVID-19 secara global telah menyebabkan jualan iPhone agak merudum di serata dunia, tetapi pasaran Asia adalah antara pasaran yang paling terkesan dari segi jualan bagi Apple.

Menurut data dari Reuters, mereka melaporkan bahawa jualan bagi iPhone telah susut 20 peratus pada bulan Februari ini berbanding bulan Februari tahun lepas.

Pasaran terbesar mereka iaitu China juga telah menyaksikan jualan merudum dan hanya mampu menjual 2.5 juta unit iPhone pada bulan Mac tahun ini.

Pada Februari tahun ini, Apple telah mengumumkan melalui sebuah panggilan telefon bersama pihak pelabur, bahawa mereka tidak akan dapat mencapai sasaran jualan mereka bagi tahun ini.

Punca utama mengapa Apple menawarkan iPhone murah di pasaran Asia adalah untuk memastikan bahawa jualan iPhone terus berlaku, walaupun penularan wabak ini dijangka berterusan sepanjang tahun ini.

Menurut penganalisis, dari segi logistik dan penghantaran, antara sebab iPhone SE dipasarkan di Asia adalah kerana hampir kesemua iPhone dipasang dan dikilangkan di China, iaitu sebuah pasaran yang paling terkesan akibat wabak COVID-19.

Dengan menumpukan pasaran iPhone SE terbaharu mereka di pasaran Asia, ini memberikan mereka keupayaan untuk meneruskan jualan dan penghantaran dengan mudah disebabkan pasaran Asia dan China berdekatan.

Walau bagaimanapun, tarikh jualan iPhone SE di Malaysia belum lagi diumumkan oleh syarikat teknologi itu lagi. Harap peminat iPhone di Malaysia dapat bersabar menunggu keluaran terbaharu ini.

Untuk baca artikel lain berkenaan iPhone, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca