WhatsApp merupakan salah satu aplikasi yang paling banyak digunakan di Malaysia untuk khidmat pesanan mesej. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi WhatsApp sudah memiliki 1.5 bilion pengguna di seluruh dunia sehingga hari ini. Namun begitu, ada juga negara yang menyekat penggunaan aplikasi ini atas sebab-sebab mereka yang tersendiri.
Berikut merupakan enam negara yang masih menyekat penggunaan aplikasi WhatsApp:
Sumber: Express
1. China
China terkenal sebagai sebuah negara yang amat protektif terhadap informasi yang diterima oleh penduduknya. Walaupun salah satu sebab aplikasi ini disekat atas alasan politik, tetapi sebab utama aplikasi ini disekat ialah China mempertahankan kawalannya terhadap informasi yang diterima oleh penduduknya.
Namun begitu, penduduk di negara China mempunyai aplikasi alternatif yang dikembangkan oleh syarikat Tencent iaitu WeChat.
Perbezaan antara WhatsApp dan WeChat ialah andai kata kerajaan China meminta kandungan mesej penggunanya, WeChat bersedia untuk memberikan kandungan tersebut.
2. Korea Utara
Korea Utara merupakan sebuah negara yang benar-benar menyaring maklumat yang diterima oleh penduduknya. Maka, tidak hairanlah bahawa Korea Utara telah menyekat penggunaan aplikasi ini. Dengan kaedah menyekat aplikasi ini, arus masuk dan keluar segala informasi dalam negara tersebut dapat diawasi dan dikawal dengan baik.
3. Cuba
Berbeza dengan China dan Korea Utara yang amat protektif terhadap maklumat yang diterima oleh rakyat mereka, Cuba mempunyai sebab mereka tersendiri untuk menyekat penggunaan WhatsApp.
Cuba mempunyai kawalan maklumat yang sangat ketat, sehingga menerima bantahan dan protes daripada negara lain.
Namun begitu, menurut laporan Express, sebab utama penggunaan aplikasi ini disekat adalah kerana kos pembiayaan penggunaan internet yang tinggi. Kos tersebut juga dikatakan melebihi gaji rata-rata penduduk di sana.
Untuk itu, Cuba mengehadkan penggunaan platform internet dan chat. Hanya ahli politik, wartawan dan mahasiswa terpilih yang memenuhi syarat sahaja dapat mengakses internet dan platform media sosial di negara ini seperti WhatsApp.
4. Iran
Iran digambarkan sebagai sebuah negara yang paling menindas wartawan di dunia selama 40 tahun terakhir menurut laporan Reporters Without Borders. Kemungkinan besar WhatsApp disekat di Iran kerana masalah keamanan dan keselamatan.
5. Syria
Syria menyekat laman-laman web atas sebab politik dan menahan pengguna tertentu yang melakukan akses masuk terhadap mereka.
Kawalan internet di Syria sangat ketat. WhatsApp bukan satu-satunya aplikasi yang disekat tetapi Syria juga menyekat aplikasi YouTube dan Facebook.
6. Emiriah Arab Bersatu (UAE)
Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai alasan yang berbeza jika dibandingkan dengan alasan yang diberikan oleh lima negara di atas untuk menyekat penggunaan WhatsApp.
Menurut laporan Express, WhatsApp disekat kerana permintaan syarikat telekomunikasi tempatan yang mengalami kerugian selepas kemunculan WhatsApp.
Kesimpulannya, penggunaan aplikasi ini disekat di enam negara tersebut atas sebab-sebab yang tertentu.