Insiden Perhimpunan Di Mahkamah, Ini Reaksi Dr. Noor Hisham

Baru-baru ini, satu perhimpunan besar-besaran telah berlaku di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berikutan daripada keputusan mahkamah untuk kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah meluahkan perasaan terkilan beliau selepas melihat insiden tersebut. Mana tidaknya, kes jangkitan COVID-19 naik semula kepada dua angka selepas pelbagai usaha dilakukan untuk membendung penularan wabak berkenaan.

Bukan sahaja kes jangkitan naik semula kepada dua angka, mereka kini dikejutkan dengan perhimpunan solidariti penyokong Najib Razak di hadapan kompleks mahkamah berkenaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sumber: Instagram @yananajib

“Kita tidak boleh buat apa-apa tentang apa yang terjadi semalam kerana ia sudah berlaku. Walau bagaimanapun, kita doakan tiada peningkatan kes,” ujar Dr. Noor Hisham.

Akui tidak mampu melakukan apa-apa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya akan melihat sekiranya terdapat peningkatan kes dalam tempoh dua minggu buat masa ini.

“Tindakan yang akan kita ambil buat masa ini adalah melihat sama ada terdapat pertambahan kes atau tidak dalam tempoh dua minggu.

Kita doa tiada peningkatan kes. Kita hanya boleh ambil tindakan sekiranya ada peningkatan kes. Sekiranya kita kesan ada kes positif, baru kita akan buat pengesanan kontak,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham tidak menyembunyikan perasaan kecewa dan sedih melihat perhimpunan berkenaan selepas tujuh bulan bekerja untuk menangani pandemik tersebut sehingga berjaya menurunkan kes ke satu angka.

“Kita kecewa dan sedih lihat perhimpunan berkenaan. Saya tidak terbabit dengan politik tetapi tiada kepatuhan kepada SOP dalam perhimpunan semalam.

Kepatuhan kepada SOP adalah paling penting dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan). Atas sebab itu, kita benarkan rakyat Malaysia untuk kembali kepada kehidupan harian dengan syarat mereka patuh kepada SOP.

Sekiranya tidak patuh kepada SOP, jangkitan akan menular dalam komuniti. Sekiranya ia tidak terkawal, kita seharusnya akan kembali kepada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.

Pada pendapat anda, adakah kita akan kembali kepada PKPP selepas melihat perhimpunan berkenaan?

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca