Insiden Kekecohan Di Bukit Jalil, Indonesia Mahu Malaysia Buat Permohonan Maaf

Kementerian Pemuda Dan Olahraga (Kemenpora) Indonesia akan meminta penjelasan daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) berhubung tindakan segelintir penyokong Malaysia yang didakwa mengancam dan melakukan provokasi terhadap penyokong Indonesia sewaktu berakhirnya perlawanan antara kedua-dua pasukan dalam aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Selasa.

Menurut Setiausaha Kemenpora iaitu Gatot S Dewa Broto, sekiranya ancaman yang diperkatakan itu benar-benar berlaku, Malaysia perlu membuat permohonan maaf terhadap semua penyokong Indonesia.

Sebaik sahaja perlawanan pada malam itu berakhir, penyokong timnas Indonesia didakwa diprovokasi oleh penyokong Harimau Malaya di luar stadium sehingga berlakunya kekecohan termasuklah ada yang dibaling dengan botol.

Insiden kekecohan itu menyebabkan penyokong skuad Garuda tidak dibenarkan untuk meninggalkan stadium dan cuma boleh berbuat demikian setelah keadaan sudah kembali terkawal.

“Kami belum dapat laporan lengkap daripada PSSI kerana mereka tidak memberitahu mengenai perkara tersebut kepada kami.Tapi yang jelas kami akan lihat kembali insiden tersebut.”

“Esok akan ada pertemuan antara kami dan PSSI dan kami akan tanyakan mereka mengenai insiden di Kuala Lumpur itu,” kata Gatot.

Pada masa yang sama, Gatot turut tidak menolak kemungkinan akan melaporkan insiden itu sekiranya ia benar-benar berlaku.

“Kita lihat bagaimana perkembangannya kerana semasa di Stadium Gelora Bung Karno, ia sangat besar dan memalukan. Tetapi kita akan lihat dulu jika sangat serius kami akan menghantar surat kepada FIFA.”

“Tapi sebenarnya jika insiden itu kecil atau besar sekalipun, pemerintah di sana (Malaysia) setidaknya mengutus surat (permohonan maaf),” ujarnya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca