Sebelum ini, kami ada berkongsi tentang pad arang yang mampu ‘menapis’ bau kentut yang busuk daripada tersebar di udara dan bikin orang pengsan. Kalau cakap pasal inovasi dalam dunia fesyen, setiap hari pasti ada sahaja benda baru yang dicipta. Dalam erti kata lain, ia sentiasa bergerak mengikut arus modenisasi.
Baru-baru ini, tular berkenaan sebuah syarikat yang mencipta baju dalam di mana ia siap dilengkapi dengan alat penyejuk untuk memberi keselesaan kepada pemakai.
Baju dalam yang dikenali sebagai Cooler Bra itu didatangkan bersama pek ais yang sudah terpasang di dalam bra tersebut. Konsep sebegini digunakan bagi memberi kesan sejuk dan nyaman kepada pemakai agar mereka berasa selesa sepanjang hari.
Cooler Bra yang begitu inovatif ini direka oleh Polar Products yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Ia dijual dengan harga RM149 setiap satu dan sesuai untuk dipakai ketika musim panas yang boleh mencecah 40 darjah Celcius di sana.
Macam mana cara penggunaannya? Mudah sahaja! Anda cuma perlu meletakkan pek ais itu ke dalam peti sejuk sebelum menggunakannya. Dengan berbuat sedemikian, ia akan memberi kesan lebih baik apabila dipakai. Mereka yang mengenakan Cooler Bra ini akan berasa seolah-olah sedang tinggal di tempat beriklim sejuk.
Pada masa yang sama, bra itu sendiri juga boleh disimpan di dalam peti sejuk selama 20 minit sebelum dipakai bagi memberi kesan yang lebih efektif ketika cuaca panas.
Tidak dapat disangkal lagi, Cooler Bra ini sememangnya idea yang begitu bernas. Sejak ia dilancarkan baru-baru ini, Cooler Bra sudah pun habis terjual. Macam pisang goreng panas!
Rasanya, kalau produk ini masuk ke pasaran Asia pun pasti habis licin juga. Boleh bikin mak-mak terkejut bila buka peti ais untuk cari ikan nak masak asam pedas. Mana tidaknya, ikan yang dicari tapi Cooler Bra pula yang muncul!