Inkues Nora Anne Bermula Hari Ini

Prosiding inkues bagi menentukan punca sebenar kematian remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin akan didengar di Mahkamah Koroner di Kompleks Mahkamah Seremban pada hari ini. Prosiding berkenaan akan dijalankan di hadapan Koroner Maimoonah Aid bermula jam 9 pagi.

Sepanjang prosiding berlangsung, mahkamah menetapkan hanya sembilan wartawan sahaja dibenarkan berada di dalam galeri awam bagi mengikuti dan membuat liputan kes berkenaan setelah mengambil kira faktor penjarakan fizikal yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.

Memetik laporan Bernama, wakil media tempatan dari pelbagai agensi dilihat mula berkumpul di perkarangan mahkamah seawal jam 8 pagi bagi mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu. Turut kelihatan ialah Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat lalu memberitahu bahawa Badan Kehakiman Malaysia akan menyiarkan prosiding berkenaan secara langsung di portal rasmi dan media sosial rasmi badan berkenaan dan orang ramai boleh menyaksikannya bermula jam 9 pagi.

Difahamkan, prosiding berkenaan akan berlangsung selama dua minggu bermula hari ini sehingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 sehingga 4 September dengan seramai 64 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Sumber: The True Net

Pada 13 Ogos lalu, Koroner Maimoonah bersama beberapa pihak berkepentingan dalam kes berkenaan meluangkan masa selama tiga jam untuk melawat lokasi kejadian untuk melihat secara terperinci bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang insiden itu.

Untuk rekod, Nora Anne yang berusia 15 tahun itu hilang pada 4 Ogos 2019 iaitu sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di Seremban.

Jasad kaku Nora Anne ditemukan berhampiran dengan anak sungai di kawasan berlurah iaitu kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya bersama keluarga pada 13 Ogos tahun lepas.

Laporan awal bedah siasat mendapati bahawa kematian remaja berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan meninggal dunia akibat kebocoran usus susulan tidak makan dalam tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan kes Nora Anne ini, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca