“Inilah Aturan Terbaik Daripada Allah”, Datuk Boy Iman Akui Sudah Bercerai Talak Tiga

Pelakon dan usahawan, Datuk Boy Iman atau nama sebenarnya, Noruliman Abdul Rahman mengesahkan bahawa dia sudah pun bercerai talak tiga dengan isterinya iaitu Kumala Dewi Anas pada bulan April lalu.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, pelakon Blok 404 itu memberitahu dia memilih untuk merahsiakan hal berkenaan buat sementara waktu kerana mahu memberi masa buat diri sendiri dan bekas isteri untuk menerima kenyataan.

“Kami berkahwin selama lapan tahun, jadi bila berlaku perpisahan perasaannya sangat menyayat hati.”

“Namun saya harap orang ramai di luar sana mendoakan yang terbaik untuk kami berdua agar terus menjadi sahabat demi anak iaitu Norul Emmer yang baru sahaja berusia 6 tahun,” coretnya.

Menurut Boy Iman, mereka sebelum ini pernah berpisah pada tahun 2015 dan 2017 namun rujuk semula atas dasar kasih sayang. Ini sekali gus menjadikan penceraian yang ketiga talak terakhir.

Pada masa yang sama, Boy Iman turut mengakui bahawa masalah kewangan merupakan salah satu punca rumah tangganya runtuh namun menegaskan ia bukanlah sebab paling utama mereka mengambil jalan tersebut.

“Ada banyak sebab lain lagi tetapi kewangan salah satu daripadanya,” ujarnya lagi.

https://www.instagram.com/p/B1GkVd9HZyq/?utm_source=ig_embed

Untuk rekod, Boy Iman dan Kumala berkahwin pada 11 November 2011 dan dikurniakan seorang cahaya mata. Kumala sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Ku Ivy Emmera.

Artikel Lain Untuk Di Baca