Gamat atau nama saintifiknya holothuroidea adalah seekor haiwan laut yang mempunyai bentuk seperti sosej dengan badan yang berkutil dan kulit yang keras. Ia digunakan secara meluas sebagai makanan dan ubat-ubatan di beberapa tempat di Asia. Gamat juga mempunyai khasiat yang tinggi tetapi tidak mengandungi kolestrol. Ia mengandungi beberapa nutriens seperti protein, lemak, gula, vitamin B1, B2, asid nikotinik dan banyak lagi.
Seperti yang anda ketahui, gamat mampu menyembuhkan luka dan sebagai ubat penahan sakit semulajadi. Namun, terdapat banyak lagi khasiat gamat yang baik untuk kesihatan. Jadi, penulis akan berkongsi dengan anda semua tentang khasiat gamat yang ramai masyarakat tidak tahu.
Antaranya adalah:
1. Awet Muda
Ramai yang tidak mengetahui bahawa gamat mengandungi 90% protein kolagen semulajadi. Gamat juga mengandungi antioksiden yang berfungsi melawan radikal bebas yang merosakkan sel-sel termasuk sel kulit dan ia juga merangsang kecantikan kulit, meningkatkan peredaran darah, melembutkan serta memperlahankan proses penuaan pada kulit.
2. Mengurangkan Resdung
Gamat membantu mengurangkan masalah resdung serta kesan daripada alahan yang menyebabkan resdung.
3. Memperbanyakkan Susu Badan
Pasti ramai yang tidak tahu bahawa gamat juga berfungsi untuk menambah kandungan susu badan. Gamat mengandungi Omega 3 yang tinggi untuk perkembangan otak bayi. Dengan mengamalkan gamat, anda akan dibekalkan dengan zat yang diperlukan oleh badan ibu dan untuk tumbesaran bayi.
4. Pencegah Kanser
Gamat mampu menghalang pertumbuhan dan penyebaran sel kanser. Hal ini kerana gamat mempunyai sebatian yang dipanggil glikosida tritertene yang tinggi. Mengikut kajian yang dijalankan oleh saintis China yang diterbitkan di dalam Jurnal Terapi Kanser dan Biologi mendapati glikosida tritertene mampu menghalang pembentukan saluran darah yang membekalkan nutrien kepada sel kanser.
5. Menyembuhkan Gastrik
Gastrik terjadi kerana lapisan bendalir yang memisahkan antara permukaan dinding perut dan asid dalam perut menipis sehingga menyebabkan luka pada dinding perut akibat daripada hakisan asid yang berlebihan tadi. Gamat membantu membina semula lapisan bendalir ini dan memperbaiki sistem pencernaan dan penghadaman.
Melalui perkongsian ini, penulis berharap agar segala khasiat yang ada pada gamat ini dapat dimanfaatkan oleh semua masyarakat dalam membantu masalah-masalah yang telah menyerang tubuh badan kita. Akhir sekali, penulis juga berharap agar anda semua terus sentiasa diberikan kesihatan yang sihat dan kuat.
Sumber: Daily News 24H