Ini Tragedi Serangan Komunis Di Bukit Kepong Pada Tahun 1950

Merdeka merupakan satu perkataan yang melambangkan sesebuah kebebasan. Sebelum mencapai kemerdekaan, negara kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman serta serangan daripada beberapa pihak musuh. Antara ancaman dan serangan bersejarah yang pernah berlaku di negara kita ialah serangan di Bukit Kepong.

Peristiwa balai polis Bukit Kepong adalah kejadian serangan komunis yang berlaku ketika keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut, balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada tanggal 23 Februari 1950.

Dalam kejadian tersebut, kira-kira 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota Polis Marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Dalam kejadian ini, 17 orang anggota polis dan hampir 40 orang komunis telah terkorban.

Tragedi Bukit Kepong merupakan satu pertempuran bersenjata bersejarah yang berlaku antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1948-1963). Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak di tebing sungai Muar, kira-kira 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.

Peristiwa serangan ini bermula seawal sebelum subuh lagi apabila pihak komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis berkenaan. Ia berakhir dengan tragik kerana pertumpahan darah berlaku. Komunis atau penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis ingin menunjukkan itulah perkara yang akan berlaku jika terdapat pihak yang menentang perjuangan mereka.

Apabila bermula sahaja proses pengepungan, pihak penyerang yakin bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal balai polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka antaranya ialah kelebihan senjata dan jumlah anggota yang lebih ramai.

Balai polis berkenaan terletak di selekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil, hanya sekitar dua puluh buah rumah dan kedai sahaja terdapat di kawasan itu. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Pada waktu itu, balai polis tersebut diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai polis tersebut, beliau telah ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, berkemungkinan besar perkara tersebut diketahui oleh penyerang komunis.

Selain itu, terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabel polis khas dan empat polis tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, dan ia menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.

Seramai 13 isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Ketika serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema ke beberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Mukim, Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 anggota AP/HG (Polis Bantuan – Auxiliary Police/Pengawal Kampung – Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari balai polis Bukit Kepong. Keupayaan senjata mereka amat terhad berbanding pengganas komunis yang menggunakan senjata automatik dan separa automatik berbanding raifal, shotgun dan revolver yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepong dan memaksa pengunduran umum komunis.

Disebabkan keadaan tidak terkawal, Penghulu Ali Mustafa mengarah anggotanya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai untuk mendapatkan bekalan makanan serta ubat-ubatan.

Pada masa yang sama, sekumpulan pengawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh ke arah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh pihak komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai di sana pada jam 10.00 pagi dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan.

Apabila pengawal kampung memasuki pekan Bukit Kepong, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Penghulu Ali Mustafa mengambil alih pentadbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar dan Lenga.

Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik, tetapi ia mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis sehingga titisan darah yang terakhir.

Kesimpulannya, kita mestilah memupuk semangat juang kemerdekaan serta semangat patriotik yang tebal dalam diri masing-masing. Peristiwa di Bukit Kepong telah memberi pengajaran dan kesan dalam hidup kita supaya tidak sewenang-wenangnya membenarkan ancaman luar masuk ke dalam negara kita.

Penulis:

  • Ameira Binti Zainudin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca