Ini Tips Untuk Anda Yang Kerap Mengalami Sembelit

Bagaimanakah sembelit berlaku?

Sembelit berlaku apabila sistem pencernaan di dalam usus besar yang bergerak agak perlahan dari kebiasaan dan ini biasanya akan menyebabkan kesukaran untuk membuang air besar.

Apabila seseorang individu itu mengalami sembelit, pasti mereka akan merasa tidak selesa dan mengambil masa yang lama di dalam tandas. Ini kerana sembelit menyebabkan tinja menjadi lebih keras dan lebih sukar untuk dikeluarkan.

Mengikut definisi perubatan, sembelit adalah gejala yang berlaku berikutan aktiviti seseorang individu yang membuang air besar kurang dari 3 kali seminggu. Selain daripada itu, masalah sembelit juga dapat dikesan jika seseorang itu mempunyai kesukaran untuk membuang air besar.

Jadi, bagaimana masalah sembelit ini dapat diatasi?

Berikut dikongsikan lima tips untuk mengelakkan masalah sembelit ini daripada berulang.

  • Melakukan lebih senaman atau pergerakan fizikal

Aktiviti fizikal dan senaman dapat mengurangkan tekanan sekaligus meningkatkan kadar metabolisme tubuh manusia. Oleh kerana itu, proses pencernaan dan penyahtinjaan akan menjadi mudah. Peredaran darah dalam tubuh juga dapat berjalan dengan lancar yang mana ia dapat merangsang pergerakan usus dalam tubuh badan manusia.

Antara aktiviti-aktiviti yang dapat dilakukan adalah berjalan, berenang, atau berbasikal.

  • Makan makanan yang mengandungi lebih serat

Untuk mengelakkan masalah sembelit, anda disarankan untuk memperbanyakkan pengambilan makanan lebih serat seperti bijirin, roti gandum, dan nasi. Jangan lupa untuk tambahkan juga pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet harian anda.

Kurangkan pengambilan makanan serat rendah seperti daging, susu, keju, dan makanan yang telah diproses. Dikatakan pengambilan makanan berserat dapat membantu proses penyahtinjaan di dalam usus besar.

  • Minum lebih banyak air kosong

Pengambilan air kosong dapat melembutkan tinja, sekaligus memudahkan ‘perjalannya’ keluar daripada tubuh manusia. Tahukah anda bahawa apabila anda kurang minum air, tubuh akan menyerap air yang terdapat di dinding usus besar? Disebabkan itulah tinja akan menjadi keras.

Jadi, anda harus minum banyak air kosong selepas ini untuk mengelakkan masalah sembelit, ya?

  • Elakkan daripada menahan diri untuk membuang air besar

Tabiat menahan dan melambat-lambatkan buang air besar adalah tidak elok untuk kesihatan usus kita kerana masalah sembelit yang lebih teruk bakal terjadi.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, sembelit yang kronik sememangnya menyakitkan dan boleh menyebabkan buasir.

Semoga tips ini bermanfaat untuk anda semua!

Penulis

  • Nur Shuhada binti Khaizar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Penyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri FiTA (UiTM).
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca