Ini 3 Fakta Menarik Sekolah Jepun Yang Mungkin Boleh Dipraktikkan Di Malaysia

Tahukah anda kenapa sistem pendidikan di Jepun merupakan antara sistem pendidikan yang terbaik? Ini adalah kerana sistem ini bukan berteraskan peperiksaan atau menghafal buku teks sahaja, tetapi mereka banyak menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar sejak sekolah rendah lagi.

Berikut antara fakta menarik tentang sekolah di Jepun:

1. Tiada tukang cuci

Pelajar-pelajar di Jepun melakukan kerja-kerja pembersihan dengan sendiri. Setiap hari sebelum dan selepas kelas, mereka akan diberi masa untuk membersihkan sekolah mengikut jadual yang ditetapkan. Mereka bukan sahaja membersihkan kelas, malah mereka juga membersihkan kafeteria dan tandas dengan sendiri. Ini dapat mengajar mereka faham akan konsep kerja berkumpulan dan hormat bukan sahaja persekitaran pembelajaran sendiri, tetapi juga orang lain.

2. Belajar kaligrafi dan tulisan jepun

Selain mempelajari mata pelajaran yang standard, mereka juga didedahkan kepada kaligrafi Jepun, Shodo yang menggunakan berus tradisional yang diperbuat daripada buluh dan seni puisi. Haiku pula menggunakan ekspresi untuk meluahkan emosi yang mendalam kepada pembaca. Masyarakat Jepun amat mementingkan budaya dan adat mereka, jadi kelas-kelas ini dapat mengajar mereka untuk menghormati adat dan budaya yang sudah lama muncul.

3. Makanan tengah hari disediakan dengan menu yang ditetapkan

Sistem pendidikan di Jepun amat mengambil berat akan kesihatan dan cara pemakanan yang sihat bagi pelajar-pelajar mereka. Pelajar-pelajar akan menikmati makanan tengah hari mereka bersama-sama rakan sekelas dan juga guru-guru mereka di ruangan yang sama. Ini dapat membantu menguatkan hubungan baik antara guru dan murid dan dapat menimbulkan nilai kekeluargaan yang diterapkan dalam diri mereka.

Jadi, di sini kita dapat lihat bahawa pelajar-pelajar Jepun amat mengambil berat tentang pelajaran mereka. Pastinya bukan mudah untuk mereka berada pada tahap ini tetapi tidak salah untuk kita juga mengambil dan mempraktikkan nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian kita.

Penulis:

  • Farah Farhana Muhamad Fuad adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan fakta menarik, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca