Ini Tanda-Tanda Ibu Bapa Yang Toksik Mampu Merosakkan Anak-Anak Tanpa Disedari

Terdapat segelintir ibu bapa yang sangat tegas dan mengawal setiap aspek kehidupan anak mereka dan ada juga yang memberikan kebebasan dan biarkan anak membuat keputusan dan kesilapan mereka sendiri. Walaupun terdapat banyak pendekatan yang berbeza, semua ibu bapa pastinya mahu melakukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Malangnya, sesetengah ibu bapa gagal menjadi penyokong dan contoh terbaik kepada anak-anak mereka. Sudah tentu semua ibu bapa melakukan kesilapan dari semasa ke semasa. Namun, beberapa kesilapan lebih besar boleh meninggalkan kesan yang mendalam terhadap anak-anak.

Jika anda seorang ibu bapa, cuba elakkan 6 tingkah laku ini kerana ia akan menyakiti anak anda:

1. Gagal mewujudkan persekitaran yang selamat dan memberikan sokongan

Segelintir ibu bapa percaya bahawa dengan memberi kasih sayang secara tegas dapat mengajar anak mengenai erti kehidupan sebenar. Hal ini mungkin menjadikan anak-anak lebih berdikari namun ia juga akan mendatangkan masalah komitmen dan hubungan yang bermasalah di kemudian hari.

Hakikatnya, kita semua memerlukan kasih sayang. Kita perlu mempunyai persekitaran yang tidak kira apa yang kita lakukan atau katakan, ibu bapa kita akan suka kita tanpa memperlekehkannya.

Dengan cara ini kita mempunyai keberanian untuk mencuba perkara-perkara baru dan memahami diri kita sebenar kerana kita belajar daripada kesilapan kita. Pendekatan yang tegas tidak salah tetapi tidak semua perkara perlu menggunakan pendekatan ini.

2. Mengkritik setiap langkah anak-anak

Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka tetapi jika selalu mengatakan bahawa mereka salah adalah perkara yang tidak baik. Ibu bapa yang terlalu negatif akan memberi kesan kepada anak sehingga mereka tiada keyakinan dan motivasi untuk mencuba perkara-perkara baru.

Normal untuk anak-anak membuat kesilapan dan belajar daripada kesilapan sendiri. Malah, ibu bapa perlu memahami mereka bukannya dengan menjadi terlalu menghakimi kehidupan mereka. Ibu bapa perlu mencari keseimbangan antara perkara positif dan negatif serta tidak menjatuhkan semangat mereka.

3. Mahukan semua perhatian

Ibu bapa yang toksik sering berfikir bahawa anak-anak mereka berhutang sesuatu kerana mereka telah menghabiskan begitu banyak masa dan tenaga membesarkan mereka. Mereka tidak faham bahawa anak mereka juga mempunyai kehidupan sendiri dan mungkin tidak akan selalu ada untuk mereka.

Jadi perkara terbaik untuk ibu bapa lakukan adalah dengan memberikan anak mereka beberapa ruang dan kemudian mereka akan sedar sendiri masa yang perlu diluangkan bersama ibu bapa. Setiap hubungan itu tidak boleh dipaksa bahkan antara ibu bapa dan anak-anak.

4. Membuat jenaka yang menyakitkan

Ia sedikit sebanyak seperti hubungan penderaan emosi dimana seorang rakan ini menjatuhkan rakannya yang lain dan dianggap sebagai bahan jenaka. Memperbesarkan dan menunjuk-nunjuk kesalahan anak-anak kepada orang sekeliling adalah perkara yang kurang baik untuk keyakinan dan rasa cinta akan diri anak-anak.

Maka, jika anda adalah ibu bapa, jangan marah atau herdik anak-anak anda hanya kerana rupa atau kelakuan mereka. Jika anda ada kerisauan mengenai anak anda maka bercakap dan berbincang dengan mereka secara peribadi dan matang.

5. Menyalahkan semua perkara kepada anak-anak

Sesetengah ibu bapa menyalahkan anak-anak mereka dengan cara yang tidak baik. Sekiranya ibu bapa anda melakukan penderaan secara emosional atau secara fizikal yang menyalahi undang-undang, ia pastinya bukan salah anda kerana tindakan seperti itu akan membuatkan anda berfikir bahawa anda berhak menerima semua penghinaan sehingga anda akan meragui nilai diri anda sebagai manusia.

Malah, ada kemungkinan bahawa anda akan berada dalam hubungan yang penuh kekerasan di kemudian hari kerana anda berfikir jenis tingkah laku itu normal dan anda tidak layak menerima layanan yang baik. Sebagai ibu bapa yang baik, cara berkomunikasi dan berbincang adalah perkara yang efektif untuk membetulkan kesilapan anak-anak.

6. Tidak membenarkan untuk menunjukkan buah fikiran dan emosi

Kita semua mempunyai masa yang baik dan buruk. Penting untuk ibu bapa berbual tentang perasaan bersama anak-anak. Perbualan sedemikian boleh mencegah penyakit mental dan fizikal. Jika ibu bapa berkata kepada anak-anak “budak lelaki tidak boleh menangis” dan berfikiran dengan kata-kata tersebut boleh menjadikan anak anda tegas dan kuat daripada segi emosi pada masa akan datang adalah sememangnya salah.

Malah, perkara ini boleh menyebabkan anak anda kemurungan dan kesepian kerana tiada tempat untuk mereka cerita tentang perasaan mereka. Jadi, seorang ibu bapa perlulah ada waktu dan ruang untuk berbual tentang perasaan mereka. Tindakan ini mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan itu.

Beberapa cara mendidik anak boleh menjadi agak negatif dan tindakan ibu bapa juga boleh meninggalkan kesan mendalam dalam diri anak-anak malah mungkin akan merosakkan masa depannya.

Oleh itu, untuk menjadi ibu bapa yang terbaik, sediakanlah anak anda sebuah rumah yang selamat dan ruang peribadi yang cukup. Berkomunikasi dengan mereka tentang perasaan mereka tetapi jangan terlalu obsesif terhadap kehidupan mereka. Biarkan anak-anak membuat kesilapan dan biarkan mereka tahu bahawa anda sentiasa ada untuk menyokong mereka.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca