Ini Sejarah Terciptanya ‘Liquid Paper’

Liquid paper sering menjadi penyelamat sekiranya anda tersalah tulis semasa zaman belajar dahulu. Tetapi pernahkah anda terfikir bagaimana liquid paper tercipta?

Semasa mesin taip dicipta, pekerja pejabat di seluruh pelosok dunia melompat dengan gembira kerana mereka tidak lagi perlu menulis dokumen sehelai demi sehelai menggunakan tangan.

Walau bagaimanapun, keriangan itu tidak bertahan lama. Mereka menyedari bahawa adalah mustahil untuk menaip sesuatu tanpa ada perkataan yang salah dieja atau beberapa huruf disatukan. Ini kerana tiada button delete pada mana-mana mesin taip di dunia pada ketika itu. Sekiranya terdapat sedikit kesalahan pada setiap satu halaman, ia perlu ditaip semula dari awal.

Ini menyebabkan timbulnya kesusahan kepada setiausaha yang bertanggungjawab menaip seluruh dokumen. Salah seorang setiausaha yang terkesan dengan masalah ini adalah Bette Nesmith Graham yang telah memikirkan cara untuk membetulkan kesilapannya dalam menaip semasa bekerja sebagai setiausaha suatu ketika dahulu.

Bette Nesmith Graham merupakan seorang ibu tunggal yang perlu menjaga seorang anak sendirian. Oleh kerana itu, dia telah melakukan pelbagai pekerjaan antaranya melukis mural di bank. Pada tahun 1951, dia mendapat pekerjaan sebagai setiausaha eksekutif Texas Bank & Trust di Dallas.

Kemajuan teknologi dalam mesin taip daripada fabrik ke pita karbon dan papan kekunci yang lebih sensitif menjadikan kesilapan sukar untuk diperbetulkan iaitu pemadam yang sebelum ini berfungsi memadam telah meninggalkan kesan karbon di seluruh kertas.

Oleh kerana itu, Bette Nesmith Graham mencari jalan penyelesaian untuk membetulkan kesilapan ketika menaip. Oleh kerana dia pernah melukis, dia teringat bahawa seorang pelukis tidak pernah membetulkan kesalahan mereka dengan menghapus, tetapi hanya melukis di atas lukisan itu dan begitulah dia mendapat idea untuk membuat correction fluid atau liquid paper.

Bette Nesmith Graham telah memasukkan beberapa cat berbasis air yang berwarna seakan-akan sama dengan kertas ke dalam botol dan membawa cat airnya ke pejabat. Dia menggunakan teknik ini untuk memperbaiki kesalahan taip secara sembunyi-sembunyi tanpa disedari langsung oleh orang atasannya.

Tidak lama kemudian, setiausaha lain melihat penemuan baru itu dan meminta sebilangan correction fluid daripada beliau. Bette Nesmith Graham akhirnya menjumpai botol hijau di rumah lalu menulis “Mistake Out” pada label, dan memberikannya kepada rakannya-rakannya dan seterusnya dikenali oleh semua setiausaha di syarikatnya.

Sumber: The New York Times

Setelah produknya dikenali umum, dia mula menambah baik resipi di dapurnya sendiri dengan bantuan seorang pekerja cat dan seorang guru kimia. Pada tahun 1956, Bette Nesmith Graham membuka Syarikat “Mistake Out” dengan bantuan anaknya untuk mengisi botol correction fluid buat pelanggannya. Bette Nesmith Graham akhirnya meninggalkan pekerjaan menaip pada tahun 1958 ketika “Mistake Out” berjaya dipasarkan dengan lebih meluas dan mendapat perhatian daripada pelbagai agensi termasuklah majalah pejabat.

Penulis:

  • Nurul Izzah Faiz Binti Mohd Sudin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Sebelum ini, kami ada kongsikan sejarah penciptaan pelitup muka pertama dunia. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca