Ini Sejarah Penciptaan Pelitup Muka Perubatan Pertama Dunia

Pelitup muka adalah sangat penting dalam bidang-bidang perubatan. Sesuai dengan isu penularan COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ini, pelitup muka menjadi satu keperluan para petugas kesihatan. Oleh itu, pelitup muka merupakan alat paling asas, tetapi memainkan peranan besar sekali. Sejarah awal penciptaan pelitup muka perlu diambil tahu.

Teori di sebalik penciptaan pelitup muka

Penemuan Louis Pasteur pada tahun 1862 telah menjadi satu penemuan utama terpenting yang berlaku dan menjadi titik tolak kepada penciptaan pelitup muka.

Pasteur berjaya membuktikan kewujudan bendasing-bendasing dalam udara melalui habuk yang terapung, mampu memerangkap organisma halus di dalamnya. Udara didapati mampu menjadi agen penyebar mikroorganisma itu.

Pada penghujung abad ke-19, telah terjadi jangkitan tuberculosis (TB) yang melanda Eropah. Robert Koch dari Jerman berjaya membuktikan kewujudan bakteria penyebab penyakit tuberculosis pada tahun 1882. Penyelidikan yang dijalankan seorang saintis bernama Dr. G. Cornet selepas penemuan Koch, membuktikan bahawa bakteria itu turut sama mampu merebak melalui udara.

Bakteria terbang di udara

Kajian yang dijalankan Cornet berdasarkan kepada penemuan Koch, menemui bukti bahawa kehadiran bakteria dalam tekak pesakit TB boleh berpecah dan tersembur keluar semasa pesakit batuk. Apabila batuk berlaku, tekanan kuat yang terhasil akan menyebabkan semburan titis-titis air pesakit mampu menyebabkan bakteria merebak di udara, dapat berpindah kepada individu lain dalam jarak dekat.

Perkiraan yang dilakukan Cornet menganggarkan sebanyak 7.2 billion bakteria boleh merebak dalam tempoh 24 jam hanya daripada seorang pesakit. Cornet juga mendapati bakteria pesakit TB mampu merebak individu ke individu, melalui bukaan saluran pernafasan serta bukaan pada kulit seperti kesan luka.

Kajian menyeluruh Cornet turut melibatkan jangkitan pada permukaan-permukaan lantai, dinding dan peralatan hospital mendapati wujudnya bakteria dalam kadar yang banyak. Bakteria ini apabila kering akan menjadi sebahagian daripada habuk dalam kawasan yang dijangkiti.

Cornet telah menyimpulkan habuk sama ada di udara atau permukaan merupakan agen paling berisiko tinggi menjangkitkan orang ramai dengan penyakit TB ketika itu.

Walaupun begitu, seorang lagi penyelidik bernama Profesor Carl Flugge mengeluarkan pendapat berbeza. Flugge melaporkan 80 peratus jangkitan pesakit TB adalah disebabkan oleh pertukaran titisan air daripada individu ke individu, khasnya di kalangan petugas perubatan.

Berbeza dengan bakteria yang sudah menjadi habuk, Flugge mendapati bakteria yang terbang daripada mulut mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi kerana masih ‘segar’ serta ‘baru keluar’.

Hasil kajian Flugge yang memperbaiki pendapat Cornet menasihatkan semua individu yang merawat atau berada berdekatan dengan pesakit TB agar menjarakkan diri jika boleh sejauh tiga hingga empat kaki. Selain itu, Flugge juga menasihatkan agar pemakaian sapu tangan pada wajah dimulakan bagi mengelakkan bakteria menjangkiti individu yang sihat.

Penciptaan pelitup muka pertama

Berikutan banyak bukti yang menunjukkan keperluan orang untuk menutup wajah ketika berhadapan dengan wabak TB, seorang pakar bedah Poland bernama Jan Mikulicz Radecki (yang kini dikenali sebagai Bapa Pengasas Sistem Pembedahan Moden) mula memanfaatkan kemahirannya mencipta pelitup muka yang sesuai.

Pelitup muka yang mula digunakan pada tahun 1897 merupakan jenis pelitup selapis, dicipta oleh Radecki untuk kegunaan doktor yang perlu merawat pesakit. Ciptaan itu ditambah baik oleh salah seorang lagi pencipta bernama W. Huebner yang merasakan dua lapisan pelitup perlu digunakan. Huebner menambah satu lagi lapisan nipis pada pelitup ciptaan Radecki serta memperkenalkan rangka wayar yang membolehkan wujud ruang antara hidung dan lapisan pelitup.

Huebner juga membuktikan bahawa kadar tapisan pelitup muka akan meningkat sekiranya lapisan pelindung ditambah. Pada mulanya penggunaan pelitup hanya khas untuk golongan doktor yang merawat dan menjalankan pembedahan sahaja.

Wabak scarlett fever yang melanda dan didapati tersebar melalui titisan air daripada tubuh manusia melalui mulut, menyebabkan seorang penyelidik perubatan bernama Alice Hamilton menyarankan agar pemakaian pelitup muka tidak lagi dihadkan kepada doktor dan doktor bedah semata-mata.

Kumpulan jururawat yang menguruskan pesakit ‘demam scarlett’ mula dibekalkan dengan pelitup muka bagi melindungi mereka daripada jangkitan.

Penulis:

  • Nur Syuhada Binti Mohammad Yusof adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan sejarah, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca