Ini Sebab Mengapa Kita Panggil Kentang Goreng Sebagai “French Fries”

Walaupun namanya mempunyai perkataan “French”, namun ia bukanlah berasal dari Perancis. Sebenarnya, asal-usul kentang goreng ini telah dikesan dari Belgium, di mana ahli sejarah mendakwa bahawa kentang mula digoreng pada penghujung tahun 1600-an.

Menurut tradisi tempatan Belgium, penduduk miskin yang tinggal di Lembah Meuse sering memakan ikan kecil yang digoreng dan ditangkap di sungai. Ketika musim sejuk, sungai akan membeku dan ia membuatkan aktiviti memancing tidak dapat dilakukan. Ini memaksa penduduk kampung mencari sumber makanan lain bagi tempoh sejuk yang agak panjang itu.

Dan ketika inilah kentang memainkan peranan yang penting. Penduduk kampung beralih kepada tumbuhan ini, menuainya lalu dihiris menjadi kepingan dan menggorengnya dengan cara yang sama seperti mereka menyediakan ikan tersebut.

Dan dengan ini, kentang goreng pertama di dunia dilahirkan. Namun, bagaimana pula ia dinamakan sebagai “French Fries”? Ia bermula dengan tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di Belgium. Mereka mula-mula diperkenalkan dengan kentang goreng ketika Perang Dunia Pertama.

Oleh kerana bahasa rasmi tentera Belgium adalah bahasa Perancis, tentera Amerika Syarikat menggelarkan kentang goreng yang lazat itu sebagai “French Fries”. Nama itu digunakan secara berterusan dan beberapa dekad kemudian ia masih digunakan serta kita masih memberi kredit kepada negara yang salah.

Begitulah tercetusnya asal-usul “French Fries” yang kini telah menjadi makanan kegemaran ramai masyarakat Malaysia. Selain itu, kentang goreng adalah salah satu hidangan sampingan yang paling popular di dunia terutama di restoran makanan segera.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca