Ini Sebab Mengapa Coca-Cola Di McDonald’s Lebih Sedap Berbanding Di Tempat Lain

Adakah anda merupakan peminat tegar rangkaian makanan segera McDonald’s? Setiap kali memesan minuman berkarbonat di McDonald’s, pernahkah terlintas di fikiran mengapa minuman Coca-Cola di McDonald’s terasa lebih sedap berbanding di tempat lain? Jika anda pernah beranggapan begitu, maka anda tidak keseorangan kerana ramai yang berasakan perkara yang sama.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa McDonald’s dan Coca-Cola mempunyai hubungan yang sangat rapat. Oleh sebab itu, kedua-dua syarikat ini boleh bekerjasama dalam mempromosikan sesuatu produk. Jadi, apa yang membuatkan rasa Coca-Cola di McDonald’s lebih enak?

Semuanya bermula dengan pembungkusan di mana biasanya restoran-restoran lain menerima sirap mereka dalam beg plastik tetapi tidak di McDonald’s. Sesuatu yang berbeza dan istimewa telah dilakukan oleh Coca-Cola untuk McDonald’s. Sirap Coca-Cola tersebut dihantar dalam tangki keluli tahan karat di mana ia akan mengekalkan kesegaran soda yang membolehkan lidah anda merasakan perbezaannya.

Sebaik sahaja sirap ini sampai di restoran, ia tidak dibiarkan begitu sahaja. Sebelum disalurkan ke mesin minuman (dispenser) yang digunakan untuk mengisinya ke dalam bekas minuman, kedua-dua sirap dan air akan disejukkan terlebih dahulu. McDonald’s sangat mementingkan proses ini.

Tidak hairanlah mereka sanggup membelanjakan wang yang sangat banyak untuk mendapatkan sistem penapisan yang baik bagi memastikan air yang dicampurkan ke dalam sirap Coca-Cola adalah air bersih yang segar.

Selain itu, kebanyakan restoran-restoran lain bergantung kepada dispenser untuk menyejukkan air Coca-Cola yang bersuhu suam. Namun di McDonald’s, tiub berpenebat digunakan untuk menghantar air yang telah siap dibancuh ke dispenser. Ini akan memastikan ia berada dalam suhu sesejuk yang mungkin. Perbezaan ini mungkin kelihatan seperti kecil, namun ia memberikan kelebihan kepada McDonald’s dalam menyediakan air Coca-Cola yang anda semua idamkan.

Ketulan ais akan ditambah bagi mengekalkan kesegaran. Namun begitu, ini akan menjadikan minuman tersebut sedikit cair dan seterusnya menjejaskan rasanya yang sebenar. Apa yang McDonald’s lakukan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menggunakan nisbah sirap yang betul untuk membolehkan rasa minuman tersebut masih sama walaupun cair bersama-sama ais. Wajarlah air Coca-Cola di McDonald’s masih sedap diminum walaupun aisnya sudah cair.

Maka, terjawablah segala persoalan yang mungkin ramai tertanya-tanya selama ini. Coca-Cola di McDonald’s ternyata lebih sedap berbanding di tempat lain kerana cara penyediaannya yang berbeza. Tetapi anda semua perlu ingat, sesedap mana pun dan sesegar mana sekalipun minuman Coca-Cola, anda perlu mengehadkan pengambilannya kerana ia sangat berbahaya untuk kesihatan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca