Ini Sebab Kenapa Mak Cik Kiah, Pak Cik Salleh, Grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’ Masuk Dalam Perutusan Perdana Menteri

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diwawancara secara eksklusif di Bangunan Putra Perdana. Memetik laporan Astro Awani, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjelaskan amat penting bagi setiap rakyat untuk memahami mesej beliau mengenai usaha kerajaan menyerap impak ekonomi akibat penularan COVID-19 di negara ini.

Walaupun agak mencuit hati, Perdana Menteri menjelaskan beliau mengambil pendekatan menggunakan karakter Mak Cik Kiah, Pak Cik Salleh, malah menyebut laman Facebook popular, Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official adalah supaya rakyat tahu kerajaan bersama-sama dengan mereka dalam tempoh sukar ini.

“Dengan cara begitu agak lebih berkesan, bahasa mudah. Dan saya tengok balik supaya yang menulis skrip untuk saya baca supaya jangan terlalu bombastik, bahasa yang agak tinggi sampai orang tak faham apa yang Perdana Menteri cakap ni.

“Jadi saya ambil pendekatan begitu, kerana yang penting ialah penonton (audience) kita, rakyat kita, dan saya faham apa yang mereka jangkakan, supaya kita tidak menyebut satu perkara yang agak sukar untuk difahami. Dan kalau begitu maka tidak berkesan, mesej itu tidak akan sampai,” jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 6 April lepas, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan, Perdana Menteri memilih perumpamaan mudah untuk rakyat, khususnya bagi sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS), serta perusahaan mikro untuk memahami bantuan dan inisiatif kerajaan.

Dalam pembentangan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN TAMBAHAN) pula, beliau mengambil contoh mudah iaitu Lee Beauty Saloon, Restoran Mi Kolok Haji Salleh, dan Syarikat Surjit Kaur Sdn Bhd.

Baru-baru ini, dalam perutusan beliau sempena bulan Ramadan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mencuit hati rakyat dengan memetik Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official, satu laman khas untuk rakyat berkongsi hasil masakan mereka yang tidak sempurna sepanjang tempoh PKP.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau amat memahami kegusaran rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, memandangkan PKP ini merencatkan sumber ekonomi mereka.

“Dalam keadaan sekarang mereka tak boleh bergerak, meniaga nasi lemak tak boleh, meniaga pisang goreng tak boleh, mana hasil pendapatan mereka?

“Jadi ini bukan satu mainan. Bagi saya sesuatu kena dibuat, supaya kita boleh membantu meringankan beban itu, bantuan dari segi barangan, bantuan dari segi kewangan, yang itu saya fikir boleh membantu mereka,” jelas beliau.

Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah yang hampir sama dengan cerita di atas. Untuk membaca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca