Ini Sebab Kenapa Anda Tidak Boleh Tinggalkan Cecair Pembasmi Kuman Dalam Kereta

Memandangkan kita kini sedang berperang dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara, antara benda yang sering dibawa bersama ketika berada di luar adalah cecair pembasmi kuman. Tidak dinafikan, cecair pembasmi kuman sangat berguna pada saat getir ini terutama sekali apabila kita sering berada di tempat yang sukar untuk membasuh tangan dengan sabun dan air.

Namun begitu, harus diingat bahawa cecair pembasmi kuman yang berasaskan alkohol ini tidak boleh disimpan di dalam kereta. Ini kerana ia berpotensi untuk terbakar sekiranya terdedah kepada suhu tinggi.

Sumber: Vital Record

Menurut Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Ganabaskaran, cecair pembasmi kuman perlu disimpan jauh daripada tempat yang terdedah kepada cuaca panas atau punca api seperti rokok dan sebagainya supaya ia tidak mengundang bahaya kepada pengguna.

“Bahan itu berasaskan alkohol dan ia berpotensi tinggi untuk terbakar. Atas sebab itu, jangan tinggalkan di dalam kereta dan pastikan ia disimpan jauh dari suhu tinggi dan api,” kata Dr. Ganabaskaran.

Sebelum ini, Jabatan Bomba Western Lake Oconomowoc di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) turut memberi amaran sama kepada orang ramai tentang bahayanya meninggalkan cecair pembasmi kuman di dalam kenderaan terutamanya sewaktu cuaca panas.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi mereka, agensi keselamatan itu telah memuat naik satu foto memaparkan pintu sebuah kereta yang terbakar dan ia dikatakan berpunca daripada cecair pembasmi kuman yang ditinggalkan di dalam kereta tersebut.

Jadi, pastikan anda tidak meninggalkan cecair pembasmi kuman di dalam kereta bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan barangan yang perlu dielakkan daripada disimpan di dalam kereta, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca