Ini Pesanan Pendakwah Bebas Kepada Pelukis Dan Perosak Mural Pemimpin Negara

Baru-baru ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan kejadian vandalisme ke atas mural gergasi yang melibatkan potret beberapa pemimpin negara.

Namun, apa yang lebih menyedihkan ialah mural gergasi yang memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut diconteng dengan perkataan kesat menggunakan cat merah.

Ia bukan sahaja merupakan satu perbuatan yang tidak beradab tetapi sikap busuk hati pelaku ini juga seolah-olah tidak menghargai jasa individu-individu yang telah bertungkus-lumus membanteras penularan COVID-19.

Seorang pendakwah bebas, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre turut memberi ulasan mengenai insiden ini menerusi satu bebenang di laman Twitter.

Menurut Ustaz Syed, “Lukisan pelukis asal jika lakukannya ikhlas kerana Allah SWT, walaupun telah dipadam, pahalanya tetap telah tersimpan dan tersedia untuk dituai pada hari akhirat nanti.

Walaupun contengan buruk si pelaku vandalisme itu telah dipadam, ia tetap ada dalam catatan dosanya selagi individu itu tidak bertaubat dan tersedia untuk dibalas di akhirat nanti.

Kadang-kadang, saya terfikir juga budaya apakah yang telah diwujudkan oleh mereka yang saban hari menyemai benci dengan ucapan dan juga tulisan di Twitter, Facebook, Instagram dan sebagainya. Pilihan di tangan kita. Adakah kita hendak melukis pahala atau menconteng dosa pada catatan amalan kita?” ujarnya.

Bagi yang masih keliru, mural potret pemimpin negara ini menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab walaupun ia belum genap satu bulan dinding bangunan rumah kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam ini dihiasi dengan lukisan berkenaan.

Sumber: Bernama
Sumber: Twitter @DGHisham

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku vandalisme di mana ia akan diambil mengikut Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005. Semoga pelaku vandalisme itu menerima hukuman yang setimpal.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca