Ini Kupasan Daripada Forum Perubahan Paradigma Seni Kreatif Anjuran Universiti Malaysia Sabah

Sebuah forum bertajuk Perubahan Paradigma Seni Kreatif Malaysia telah diadakan di Blok Seni, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 3 Disember lalu.

Forum itu berlangsung dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang melibatkan 100 peserta iaitu pelajar penulisan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS di Teater Ahmad Nisfu di mana panel jemputan membahaskan isu trend penerbitan hasil karya mereka dalam pasaran.

Sesi satu ialah forum penerbit bertajuk Perbezaan Kriteria Penerbitan Karya Kreatif dalam Malaysia Baru yang dibincangkan oleh Muhammad Aisamuddin Md Asri atau lebih dikenali dengan nama pena Aisa Linglung mewakili Lejen Press dan Maslijan Abd Rasad selaku Perancang Bahasa mewakili Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah.

Sesi berlangsung selama tiga jam ini dikendali oleh Dr. Lokman Abdul Samad sebagai moderator yang mengupas isu tentang gaya dan cabaran penerbitan termasuk usaha penerbit terutamanya dalam mendepani perubahan teknologi untuk terus kekal relevan dalam pasaran.

(Dari kiri ke kanan) Dr. Lokman Abdul Samad, Muhammad Aisamuddin Md Asri dan Maslijan Abd Rasad

Menurut Encik Aisamuddin, “Selain bahasa yang berevolusi, industri penerbitan turut perlu lebih fleksibel dan kreatif seiring dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman.”

Tambahnya, “Graduan seni kreatif menghadapi cabaran untuk kekal relevan dan kompetitif dengan keperluan industri. Justeru, untuk lebih faham dan terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perubahan yang berlaku, mereka perlu mempersiapkan diri dari universiti lagi.”

Menurut beliau, kajian mendapati bahawa rakyat Malaysia secara purata menghabiskan lapan jam setiap hari di telefon pintar.

Mengambil kira trend tersebut, industri kreatif perlu mengisi ruang yang ada untuk terus kekal relevan. Jika sebelum ini minat membaca diukur dengan berapa buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun, seharusnya dengan perubahan ke arah trend digital, ia boleh diukur dengan jumlah masa dihabiskan dengan membaca setiap hari.

Dalam konteks ini, selain buku, membaca boleh diklasifikasikan dengan aktiviti membaca melalui telefon pintar seperti e-buku, portal atau laman web, Wikipedia (sekadar menyebut beberapa contoh) dan lain-lain.

Sesi kedua bertajuk Perbezaan Suara Kreatif dalam Malaysia Baru: Perspektif Penulis itu pula dibahas oleh dua penulis muda Sabah iaitu Ruhaini Matdarin dan Adi Hj. Sesi yang berlangsung selama tiga jam ini telah dikendali oleh Profesor Madya Dr. Sim Chee Cheang.

Memetik sumber Utusan Borneo, “Saya kagum akan sambutan positif mahasiswa seni kreatif khususnya dalam mengangkat martabat sastera melalui penglibatan mereka dalam bidang penulisan.

“Selain dapat belajar trend terkini dalam penghasilan karya kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan skrip filem, forum ini diharapkan dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada novelis, cerpenis dan penulis dalam cara menulis dan menghayati sebuah karya kreatif,” kata Dr. Sim Chee Cheang selaku pengarah program.

Pihak Lejen Press Digital memandang positif usaha Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah dalam menganjurkan forum ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca