Ini Kronologi Peristiwa Yang Berlaku Sepanjang PKP Di Malaysia

Semua pasti ingat waktu pertama kali kita menyambut sambutan tahun baharu 2020. Ramai tersenyum lebar mengharapkan keajaiban pada tahun yang kita anggap sebagai istimewa ini.

Pada tahun 2020, kebanyakan negara mengharapkan tempat mereka menjadi semakin maju sesuai dengan arus pemodenan yang berlaku.

Buat individu pula, kita semua mengharapkan impian yang sudah lama kita impikan menjadi satu kenyataan pada tahun ini.

Namun, kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. COVID-19 mula menyerang di Wuhan pada akhir tahun 2019. Pada waktu itu, ia tidak dilihat sebagai ancaman.

Kita semua menganggap ia hanya virus yang akan hilang begitu sahaja jika dirawat. Tidak perlu vaksin dan sebagainya. Malangnya, virus COVID-19 mula merebak dengan luas sehingga ia menjangkiti banyak negara.

Ini merupakan kronologi peristiwa yang berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP):

1. Fasa pertama 18 Mac sehingga 31 Mac 2020

Pada 16 Mac 2020 jam 10 malam, Perdana Menteri yang baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.

Menerima sahaja berita itu, rata-rata rakyat Malaysia mula melakukan pembelian panik yang terlalu dahsyat. Masih segar di ingatan sewaktu pulang dari kerja malam sebelum 18 Mac itu, semua kedai runcit, pasar raya dan pusat beli-belah dipenuhi dengan manusia.

Sumber gambar: Astro Awani

Rak-rak di kedai yang tidak pernah kosong kini sudah menjadi kosong. Lebih memeranjatkan lagi, roti Gardenia tiba-tiba sahaja menjadi kegilaan orang ramai.

Sehingga menjadi trend di mana ada pihak ingin menjual semula roti mereka dengan harga yang mahal kerana dianggap limited edition. Dalam pada masa yang sama, lori Gardenia juga telah dicuri pada akhir bulan Mac.

Lelaki muslim pula buat pertama kali merasai pengalaman tidak perlu hadir solat Jumaat sepanjang tempoh PKP. Perasaan janggal itu memang tidak dapat dinafikan apabila tidak dibenarkan untuk solat berjemaah di surau.

2. Fasa kedua 1 April sehingga 14 April 2020

Rakyat menerima berita bahawa PKP akan dilanjutkan lagi. Tahap pematuhan pula semakin memberangsangkan. Kuala Lumpur yang sering dipenuhi dengan kereta kini tidak lagi kelihatan penuh.

Kedai-kedai yang bukan keperluan penting ditutup. Rakyat pula semakin sedar akan bahayanya virus itu. Pekerja mula biasakan diri bekerja di rumah setelah pejabat ditutup kerana PKP.

Kita semua sudah mula biasakan diri dengan norma baharu. Harga minyak juga semakin lama semakin jatuh ketika ini kerana negara luar juga dilanda masalah COVID-19.

3. Fasa ketiga 15 April sehingga 28 April 2020

Fasa di mana umat Islam akan menyambut bulan Ramadan. Buat pertama kalinya, kita tidak dapat pergi ke bazar Ramadan. Juadah makanan yang pelbagai dan jarang kita dapat selain waktu Ramadan semuanya tidak boleh didapati.

Justeru itu, rakyat mula berjual beli menggunakan platform dalam talian seperti di Facebook dan Twitter untuk melakukan penghantaran makanan terus ke rumah.

Kita juga tidak dibenarkan untuk tarawih di masjid sepanjang bulan Ramadan.

Ramai ustaz memberikan panduan mudah kepada ketua keluarga untuk melaksanakan tarawih bersama keluarga di rumah.

Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang terkandas mula dibenarkan untuk pulang secara berperingkat setelah sekian lama berjauhan dengan keluarga.

Sumber gambar: Astro Awani

Kita juga mengalami situasi kekurangan stok pelitup muka, gaun dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan. Namun, itu semua dapat diatasi dengan pantas kerana bantuan rakyat Malaysia.

4. Fasa keempat 29 Mei sehingga 12 Mei 2020

Angka jangkitan positif COVID-19 mula menunjukkan perkembangan yang positif. Namun, negara kita masih dalam langkah berjaga-jaga. Susulan itu PKP dilanjutkan lagi.

Sewaktu fasa ini, kita dikejutkan dengan perubahan perintah pada 1 Mei apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan mula dilaksanakan pada 4 Mei. Beberapa syarikat sudah mula dibenarkan beroperasi dan aktiviti perniagaan juga boleh dibuka seperti biasa.

Malangnya, raya semakin menghampiri dan perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan. Orang ramai juga tidak boleh pulang ke kampung sepanjang PKPB berlangsung.

5. Fasa kelima 13 Mei sehingga 9 Jun 2020

Rata-rata masyarakat sudah mula belajar menjalani kehidupan seharian mereka dengan norma baharu. Sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan orang ramai memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan tangan sebelum masuk ke dalam premis.

Malah, semua sektor perniagaan juga mengamalkan penjarakan sosial dengan baik dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Sewaktu beraya pula, kita hanya dibenarkan beraya pada hari pertama. Orang ramai menggunakan video call di media sosial untuk menghilangkan rasa rindu terhadap keluarga mereka.

Pada mulanya, kita berasa tertekan dan susah untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu ini. Lebih-lebih lagi, kita sedang menghadapi musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kita pasti akan merindui saat-saat yang mencuit hati dan dramatik yang berlaku sepanjang PKP ini selepas semuanya tamat.

Sumber gambar: BERNAMA

Terutama sekali, saat di mana semua orang akan berkumpul di hadapan televisyen dan telefon bimbit untuk mendengar suara Dr. Noor Hisham menyampaikan berita terkini tentang COVID-19 pada setiap jam lima petang.

Kita harus menang!

Untuk membaca artikel lain berkaitan perkembangan COVID-19 di Malaysia, anda boleh klik di pautan bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca