Ini Kisah Tragis Pengasas Restoran Makanan Segera McDonald’s

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: Mashed

Siapa sangka tindakan Richard dan Maurice McDonald yang telah memberikan hak pelesenan kepada syarikat aiskrim Frejlach di Illinois tanpa pengetahuan Ray Kroc bakal mengubah kehidupan mereka dalam sekelip mata?

Kami akan kongsikan kisah tragis pengasas sebenar McDonald’s menerusi artikel ini:

McDonald’s Bar-B-Que

Pada tahun 1940, Richard dan Maurice McDonald telah membuka sebuah restoran kecil bertemakan drive-through atau lebih dikenali sebagai pandu lalu di San Bernardino, California.

Diberi nama McDonald’s Bar-B-Que, menu restoran ini diubah kepada 25 jenis makanan di mana kebanyakannya ialah hidangan barbeku.

Adik-beradik itu percaya bahawa keuntungan mereka berkait rapat dengan perkhidmatan pandu lalu yang ditawarkan oleh restoran tersebut. Oleh itu, mereka hanya mengekalkan makanan yang terjual laris sahaja dalam menu.

Untuk menambah baik servis restoran mereka, Richard dan Maurice menghasilkan sistem beratur ketika pelanggan membeli makanan. Mereka juga menyediakan makanan dengan lebih awal supaya pelanggan tidak perlu menunggu dengan lebih lama. Pada 12 Disember 1948, restoran itu dinamakan semula kepada McDonald.

McDonald’s kini menjadi francais

Ray Kroc

Pada tahun 1953, Richard dan Maurice ingin melebarkan sayap perniagaan makanan segera mereka. Seorang pengedar untuk General Petroleum Corporation merupakan individu pertama yang menyertai McDonald.

Ray Kroc iaitu seorang jurujual mesin pembuat milkshake telah dapat tahu bahawa McDonald’s menggunakan lapan mesin yang dijual oleh Ray di restoran itu.

Ray kagum dengan operasi restoran berkenaan dan kemudiannya berjumpa dengan Richard dan Maurice untuk mengusulkan cadangan bahawa restoran itu difrancaiskan ke seluruh negara.

Walaupun Richard dan Maurice ragu-ragu dengan idea tersebut pada mulanya, Ray tidak berputus asa untuk terus memujuk adik-beradik berkenaan.

Ray akan bertanggungjawab sepenuhnya atas risiko yang bakal dihadapi membuatkan Richard dan Maurice akhirnya menerima tawaran berkenaan. Richard dan Maurice akan menerima pulangan 0.5 peratus daripada keuntungan kasar.

Ray yang ingin mengubah suai hiasan restoran itu tidak menerima persetujuan daripada adik-beradik itu pada mulanya tetapi akhirnya menerima kebenaran bertulis untuk mengubah konsep kedai makan tersebut.

Selepas restoran pertama yang diterajui oleh Ray berjaya, beliau giat mencari ahli baharu untuk menjual francais kepada mereka dan itu tidak mengambil masa yang lama.

Ray jadi pemilik baharu McDonald’s

Pada tahun 1956, Richard dan Maurice telah memberikan hak pelesenan kepada syarikat aiskrim Frejlach di Cook County, Illinois tanpa pengetahuan Ray.

Syarikat itu terletak hanya 53 kilometer daripada francais kepunyaan Ray dan itu telah membuatkan beliau naik berang. Ray kemudiannya membeli semula hak itu dengan bayaran lima kali ganda daripada harga asal iaitu RM107,150.

Pada tahun 1961, Ray telah membeli semua hak pelesenan McDonald’s dengan harga RM12 juta. Walaupun nama restoran itu masih dikekalkan sebagai McDonald’s, ia telah menjadi hak penuh Ray.

Richard dan Maurice menukar nama restoran McDonald’s pertama di San Bernardino kepada The Big M sebagai usaha untuk membalas dendam kepada Ray namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ray membuka francais McDonald’s berdekatan dengan restoran mereka dan ia akhirnya membuatkan The Big M terpaksa gulung tikar.

Penulis:

  • Arif Aiman Asrol adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca